PENAMPANG: Seorang lelaki dilaporkan maut selepas motosikal yang ditunggangnya dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas ke bahu kiri jalan dan terjatuh ke dalam parit dalam kejadian kemalangan di Jalan Kobusak berhampiran Lido Plaza, awal pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Penampang, Superintendent Sammy Newton mengesahkan perkara itu berkata, dalam kejadian lebih kurang jam 7 pagi, mangsa iaitu lelaki berusia 37 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
“Hasil siasatan awal mendapati mangsa menunggang sebuah motosikal dari arah Nosoob menuju ke lampu isyarat Kobusak dipercayai telah hilang kawalan lalu terbabas berhampiran satu selekoh di lokasi kejadian.
“Mangsa telah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan dan mayat mangsa kemudiannya dihantar ke Hospital Queen Elizabeth 1 untuk tujuan bedah siasat,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Sammy berkata, kes disiasat bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Tambah Sammy, pengguna jalan raya dinasihatkan untuk memastikan kenderaan dalam keadaan baik dan memandu dengan berhati-hati.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian ini diminta menghubungi Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik IPD Penampang atau terus menghubungi pegawai penyiasat kes Inspektor Saparia Ladoni di talian 019-809 5133.






