KOTA KINABALU: Gerakan Kuasa Rakyat Malaysia (G57) mempersoalkan mengapa tiada sebarang tindakan undang-undang diambil terhadap aktivis Fahmi Reza meskipun puluhan laporan polis telah dibuat atas dakwaan menghina Tuan Yang Terutama (TYT) Yang di-Pertua Negeri Sabah.
Pengerusinya, Datuk Zulkarnain Mahdar, menyifatkan Fahmi seolah-olah “kebal” daripada tindakan undang-undang, walaupun mencetuskan kontroversi dengan memuat naik karikatur yang didakwa memfitnah dan menjatuhkan maruah TYT Sabah.
“Kenapa hingga hari ini tiada pendakwaan? Fahmi bebas menyerang Tun Musa, tetapi nama-nama seperti Shafie Apdal, Bung Moktar dan Peter Anthony langsung tidak disentuh, walaupun mereka terpalit kes rasuah bernilai jutaan ringgit,” katanya.
G57 turut membidas Ketua Pemuda DAP, Woo Kah Leong, kerana pantas mempertahankan Fahmi selepas disekat ke luar negara, namun berdiam diri berhubung penghinaan terhadap institusi negeri.
“Tun Musa tidak pernah disabitkan apa-apa kesalahan, malah dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong melalui proses teliti. Tapi kenapa hanya beliau jadi sasaran?” soal Zulkarnain.
Beliau mendakwa tindakan Fahmi seolah-olah bermotif politik dan memperlihatkan dwi-standard penguatkuasaan.
“Rakyat Sabah sedang memerhati. Sampai bila undang-undang bersikap pilih kasih?” katanya.






