Warisan, PH Usaha Jatuhkan Kerajaan PN Sebelum Negara Capai 80% Imuniti Kelompok...

Warisan, PH Usaha Jatuhkan Kerajaan PN Sebelum Negara Capai 80% Imuniti Kelompok – Edward

0
SHARE
Timbalan Presiden Parti Progresif Sabah (SAPP), Edward Dagul...

KOTA KINABALU, SABAH – Warisan dan Pakatan Harapan (PH) tergesa-gesa untuk menjatuhkan kerajaan Perikatan Nasional (PN) dengan mengadakan tunjuk perasaan bagi mengelak rakyat Malaysia menyokong kerajaan sebaik sahaja negara mencapai 80 peratus (80%) imuniti kelompok menjelang November tahun ini.

Timbalan Presiden Parti Progresif Sabah (SAPP) Edward Dagul berkata, pemimpin pembangkang itu termasuk Anggota Parlimen amat proaktif dalam membuat provokasi untuk menjatuhkan kerajaan dan juga Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Dengan apa cara juga, Edward berkata agenda utama Warisan dan PH adalah untuk menjatuhkan kerajaan PN sebelum imuniti kelompok ini dapat dicapai.

“Perdana Menteri kita Tan Sri Muhyiddin Yassin telah berjanji kepada rakyat Malaysia untuk mempercepatkan vaksinasi sehingga dapat mencapai 80 peratus imuniti kelompok menjelang November 2021…

“Labuan adalah satu contoh yang sangat baik di mana imuniti kelompok yang disasarkan sudah dicapai dan dilabel sebagai episod kejayaan disebabkan usaha kerajaan PN.

“Berita dan komen di media sosial menunjukkan bahawa tunjuk perasaan ini membawa dua erti di mana pada permulaannya bagi menunjukkan sifat tidak puas hati terhadap kerajaan PN tapi dilakukan tanpa mempedulikan keselamatan kesihatan awam dan mereka sendiri ketika mana negara memerangi Wabak COVID-19,” kata Edward dalam satu kenyataan di sini.

Edward berkata lagi, tunjuk perasaan itu seolah dianjur untuk mewujudkan lebih banyak kluster COVID-19 dan membebankan pekerja kesihatan yang sedang menghadapi masa yang sukar untuk merawat pesakit akibat jangkitan virus berkenaan.

Dia merujuk kepada protes #Lawan baru-baru ini yang kebanyakannya disertai oleh anak muda Malaysia di Dataran Merdeka pada 31 Julai untuk menekan Perdana Menteri mengundurkan diri, meminta kerajaan untuk mengadakan sidang Parlimen dan mengakhiri Ordinan Darurat.

“Berkumpul secara beramai-ramai adalah tindakan yang jelas tidak diperlukan kerana boleh menyebabkan lebih banyak kluster baharu…

“Pemimpin politik PH dan Warisan takut bahawa semua rakyat Malaysia akhirnya akan menyokong kerajaan PN dan Perdana Menteri apabila sasaran imuniti kelompok menjelang November tahun ini menjadi kenyataan.

“Itulah alasan sebenar mengapa langkah untuk menggulingkan kerajaan sekarang meningkat. Ini adalah ‘TAKTIK TERAKHIR’ para pemimpin pembangkang untuk menggulingkan Tan Sri Muhyiddin dan Kabinet beliau.

“Oleh itu, rakyat Malaysia tidak boleh tertipu dengan taktik yang tidak bermoral untuk menjatuhkan kerajaan sekarang yang jelas prihatin terhadap kesejahteraan rakyat terutama ketika negara sedang berperang dengan wabak COVID-19,” katanya.

Edward yang juga ahli Majlis Tertinggi PN berkata, semua rakyat Malaysia harus tetap bersatu dan mempunyai keyakinan terhadap kerajaan PN yang fokus untuk memerangi wabak yang menyerang negara ketika ini dan meningkatkan lagi proses vaksinasi untuk memenuhi sasaran imuniti sebelum atau pada November tahun ini.

Dalam pada itu, Pemuda SAPP kelmarin (Selasa) telah membuat laporan polis terhadap perhimpunan besar-besaran oleh Ahli Parlimen, yang disiarkan secara langsung pada petang 2 Ogos (Isnin) lalu melalui pautan di https://fb.watch/78w-1BPelL/.

Dexter (kanan) bersama ketua Penerangan pemuda SAPP Charles Gokin di sebelah kiri selepas membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Kinabalu…

Naib Ketua Pemuda SAPP Dexter Chin berkata dalam siaran langsung itu, Ahli Parlimen memberi contoh buruk kepada rakyat dengan melanggar SOP kerana banyak yang dilihat tidak mengawal jarak sosial.

“Ini semua dilakukan sementara dalam pengetahuan yang jelas bahawa parlimen telah ditunda. Ini jelas memberikan contoh buruk kepada rakyat…

“Dalam siaran langsung ini, Ahli Parlimen telah jelas melanggar SOP dan pihak berkuasa harus mengambil tindakan,” kata Dexter.

Dia menamakan Ahli Parlimen yang berkumpul di Dataran Merdeka termasuk Datuk Seri Anwar Ibrahim (Presiden PKR), Lim Guan Eng (Setiausaha Agung DAP), Mohamad Sabu (Presiden AMANAH), Tun Dr Mahathir Mohamad (Pengerusi Pejuang), Datuk Seri Shafie Apdal (Presiden Warisan) dan Syed Saddiq Abdul Rahman (Muda), Ahli Parlimen Chan Foong Hin Kota Kinabalu (DAP), Christina Liew Tawau (PKR) dan lain-lain.

Perhimpunan haram Ahli-ahli Parlimen Pembangkang yang disertai bekas Perdana Menteri; Dr Mahathir Mohamad, Ketua Pembangkang; Anwar Ibrahim, Setiausaha Agung DAP; Lim Guan Eng, Presiden Parti Warisan Sabah; Shafie Apdal dan Presiden Amanah; Mat Sabu pada 02 Ogos 2021…