MAFFI Tingkat Jumlah Pengeluaran Padi Kepada Enam Tan Per Hektar – Jamawi

MAFFI Tingkat Jumlah Pengeluaran Padi Kepada Enam Tan Per Hektar – Jamawi

0
SHARE

KOTA KINABALU: Kementerian Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah (MAFFI) menyasarkan peningkatan pengeluaran padi negeri daripada purata 3.5 tan kepada enam tan per hektar sebagai langkah strategik memperkukuh sekuriti makanan Sabah.

Menterinya, Datuk Jamawi Jaafar berkata, sasaran itu akan dicapai melalui penggunaan benih padi sah berkualiti tinggi seperti TR8 dan TR11 selain memperluas penggunaan mekanisasi dalam sektor penanaman.

“MAFFI juga akan melaksanakan pembukaan semula kawasan sawah padi terbiar seluas 3,000 hektar dalam tempoh lima tahun bermula 2026 hingga 2030, di samping membuka kawasan baharu termasuk pembangunan padi tanah kering atau huma,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penggulungan pada persidangan Dewan Undangan Negeri Sabah ke-17 di sini, hari ini.

Dalam pada itu, beliau yang juga ADUN Melalap berkata, MAFFI turut mengangkat inisiatif Kebun Dapur sebagai platform utama meningkatkan sosioekonomi golongan petani, penternak dan nelayan melalui pengeluaran hasil pertanian secara lestari.

Menurutnya, inisiatif itu memanfaatkan ruang sekitar kediaman seperti halaman rumah dan kawasan lapang dengan penggunaan teknologi pertanian moden bagi meningkatkan hasil tanaman, perikanan dan ternakan.

“Pelaksanaan Kebun Dapur bukan sahaja membantu mengurangkan kos sara hidup rakyat melalui penjimatan perbelanjaan harian, malah mampu menjana pendapatan tambahan melalui jualan lebihan hasil,” jelasnya.

Tambah beliau, pendekatan itu turut menyokong keterjaminan makanan negeri selain menggalakkan penglibatan belia dalam bidang pertanian serta memupuk minat keusahawanan asas dalam kalangan generasi muda.