MYSpaCE Pacu Ekonomi Belia Melalui Industri Kreatif

MYSpaCE Pacu Ekonomi Belia Melalui Industri Kreatif

0
SHARE

KOTA KINABALU: Kementerian Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah (MYSpaCE) terus mempergiat usaha memperkasa ekonomi belia melalui penglibatan aktif dalam industri dan perniagaan berasaskan kreativiti yang dilihat mampu menjadi pemangkin pertumbuhan ekonomi negeri.

Menterinya, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, sektor kreatif seperti seni muzik, filem, makanan dan kraftangan mempunyai potensi besar untuk membuka peluang keusahawanan sekali gus meningkatkan pendapatan golongan muda di Sabah.

“Kerajaan yakin sekiranya industri ini diperkasakan secara menyeluruh, ia bukan sahaja mampu mengubah landskap kehidupan belia Sabah, malah turut menyumbang kepada peningkatan hasil negeri,” katanya ketika menyampaikan ucapan penggulungan pada persidangan Dewan Undangan Negeri Sabah ke-17, hari ini.

Dalam pada itu, beliau menegaskan MYSpaCE kekal komited melaksanakan pembangunan belia secara holistik menerusi pelbagai program kepimpinan berimpak tinggi seperti Felo SMJ, DUN Belia, Majlis Perundingan Belia Negeri (MPBN) serta Sukarelawan SMJ.

Menurutnya, usaha tersebut turut disokong dengan pembangunan sektor sukan melalui penyediaan fasiliti dan pelaksanaan program atlet secara berterusan selaras dengan aspirasi menjadikan Sabah sebagai Negeri Sukan.

“Pendekatan menyeluruh ini memastikan belia Sabah bukan sahaja dibentuk dari segi kepimpinan dan bakat, tetapi juga diberi ruang luas menjana pendapatan mampan melalui sektor kreatif dan sukan,” jelasnya.