Sabah Beri Bantuan Kewangan RM7.81 juta Kepada 77 Sekolah, Badan Keagamaan Bukan...

Sabah Beri Bantuan Kewangan RM7.81 juta Kepada 77 Sekolah, Badan Keagamaan Bukan Islam Zon Pantai Barat Utara

0
SHARE
Julita
Julita (dua dari kanan) menyampaikan bantuan kepada salah seorang penerima dalam Majlis Penyerahan Surat Kelulusan Bantuan Kewangan kepada Sekolah-sekolah dan Badan-badan Keagamaan Bukan Islam Tahun 2023 bagi Zon Pantai Barat Utara (Kudat, Banggi, Matunggong, Kota Marudu dan Pitas) - ( Sumber Foto: Ihsan Pejabat ADUN Matunggong )

KUDAT, SABAH – Kerajaan negeri menyediakan peruntukan sebanyak RM54.05 juta dalam belanjawan tahun ini untuk disalurkan sebagai bantuan kewangan kepada sekolah dan badan keagamaan bukan Islam di seluruh Sabah.

Daripada jumlah tersebut, RM23 juta diperuntukkan kepada sekolah-sekolah dan RM31.05 juta untuk badan-badan keagamaan bukan islam.

Pembantu Menteri Kewangan, Datuk Julita Majungki berkata, dengan peruntukan tersebut, sebanyak 1,810 kelulusan bantuan kewangan telah diberikan iaitu 346 untuk sekolah-sekolah dan selebihnya iaitu 1,464 untuk badan-badan keagamaan.

“Jika dibandingkan dengan kelulusan pada tahun lepas iaitu sebanyak 1,516, pada tahun ini terdapat penambahan sebanyak 294 kelulusan.

“Syabas dan tahniah saya ucapkan kepada ahli jawatankuasa yang terlibat khusus dalam perancangan, pengurusan dan pelaksanaan bantuan kewangan ini atas komitmen yang tinggi dan mantap sehingga hari ini,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam Majlis Penyerahan Surat Kelulusan Bantuan Kewangan Kepada Ssekolah Dan Badan Keagamaan Bukan Islam 2023 bagi Zon Pantai Barat Utara (Kudat, Banggi, Matunggong, Kota Marudu dan Pitas) yang diadakan di Dewan Basel, SJKC Lok Yuk Batu 1, di sini, baru-baru ini.

Beliau turut menyampaikan surat kelulusan bantuan kepada 77 penerima yang melibatkan 450 kelulusan dengan jumlah bantuan kewangan sebanyak RM7,81 juta.

Daripada jumlah tersebut, RM2.52 juta diberikan kepada 46 buah sekolah, manakala RM4.88 juta kepada 394 buah gereja dan RM408,000 kepada 10 buah tokong.