Kerajaan Peruntukkan RM1 Juta Bina Semula Jambatan Gantung Di Penampang, Tuaran

Kerajaan Peruntukkan RM1 Juta Bina Semula Jambatan Gantung Di Penampang, Tuaran

0
SHARE
Zahid
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ketika sesi taklimat Kejadian Bencana dan Laporan Kewangan di Negeri Sabah bertempat di Livingston Hotel ( Sumber Foto: Ihsan KKDW )

SANDAKAN, SABAH – Kerajaan Persekutuan bersetuju memperuntukkan sebanyak RM 1 juta melalui Tabung Kumpulan Wang Amanah Bantuan Bencana Negara (KWABBN) bagi membina semula jambatan gantung di Penampang dan Tuaran yang rosak akibat banjir.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata langkah segera terbabit merupakan tindakan proaktif susulan bencana banjir yang melanda beberapa daerah bermula 30 Jun lepas.

Katanya, berdasarkan perincian laporan yang diterima, kejadian terbabit menjejaskan kehidupan 485 mangsa di kedua-dua daerah dan Putatan.

“Sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana, saya telah mengarahkan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) untuk menempatkan tiga set jambatan Keluli Bermodular (Bailey Bridge) sepanjang 39 meter dan mampu menampung beban seberat 50 tan pada satu-satu masa.

“Kemudahan ini adalah langkah persediaan
sekiranya wujud keperluan segera bagi menggantikan jambatan runtuh.

“Saya juga telah mengarahkan Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) untuk
melakukan kajian di kawasan tanah runtuh berdekatan kaki Gunung Kinabalu di
Mesilau, Kundasang berikutan hujan lebat berterusan pada 23 Jun lalu.

“Tindakan ini akan turut diselaraskan oleh pihak NADMA bagi mengenal pasti tindakan berkaitan yang perlu diambil,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan hari ini selepas sesi taklimat Kejadian Bencana dan Laporan Kewangan di Negeri Sabah bertempat di Livingston Hotel, di sini, hari ini.

Turut hadir, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Datuk Seri Dr Noraini Ahmad, Ketua Pengarah NADMA, Datuk Khairul Shahril Idrus dan Ketua Pesuruhjaya Angkatan Pertahanan Awam (APM) Malaysia, Datuk Aminurrahim Mohamed.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid turut berkata pihaknya turut mengarah JMG untuk meletakkan pengesan atau sensor pergerakan di cerun kaki Gunung Kinabalu serta kawasan tumpuan penduduk dan pelancong.

Selain itu, Jabatan Kerja Raya (JKR) turut disaran melaksanakan pemeriksaan dengan
lebih kerap dan mengenal pasti jalan yang terputus hubungan.

“Pada masa sama, kerajaan Persekutuan memperuntukkan RM10 juta untuk
menangani kesan cuaca kemarau di seluruh negara dan Sabah adalah antara negeri
terjejas.

“Kemarau dilaporkan mula melanda pada pertengahan Mac dan berakhir pertengahan Mei lalu, sekaligus menyebabkan berlaku kekurangan bekalan air bersih di beberapa buah kampung.

“Kerajaan amat prihatin terhadap nasib yang menimpa golongan petani di Sabah apabila
tanaman masing-masing tidak mengeluarkan hasil sepatutnya akibat kesan cuaca panas.

“Kerajaan persekutuan menggerakkan Operasi Pembenihan Awan (OPA) di Negeri Sabah pada akhir Mac lalu. Langkah itu merupakan antara usaha bersepadu kerajaan bagi mengurangkan impak cuaca panas di kawasan terjejas manakala OPA kedua akan
dilaksanakan sekiranya keadaan didapati belum pulih sepenuhnya.

“Kerajaan Persekutuan berharap segala usaha ini berkesan dalam membantu dan
melancarkan kelangsungan hidup rakyat negeri Sabah mendepani situasi banjir serta
kesan cuaca kemarau pada masa akan datang,” katanya.

Beliau turut berkata segala langkah dan tindakan difikir wajar akan diambil mengikut keperluan kerana kesejahteraan rakyat di negeri Sabah sentiasa menjadi keutamaan pihaknya.