Cosmos International Consultancy Rangkul Anugerah Utama Di Golden Bull Award 2026

Cosmos International Consultancy Rangkul Anugerah Utama Di Golden Bull Award 2026

0
SHARE

PETALING JAYA: Cosmos International Consultancy Sdn Bhd mengukuhkan kedudukannya sebagai pemain utama industri selepas, Pengarah Urusannya, Datuk Seri Mossco Woo Chin Teck meraih anugerah berprestij bagi kategori tertinggi, ‘Super Golden Bull Award’, pada majlis Golden Bull Award 2026 yang berlangsung di sini pada malam Khamis dirasmikan oleh Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Steven Sim.

Kejayaan syarikat peneraju perkhidmatan perundingan itu turut dimeriahkan dengan Ketua Pegawai Eksekutif Cosmos, Subha Sathiamoorthy Maraiah, dianugerahkan anugerah ‘Inspirational Entrepreneur Award 2026’ sebagai pengiktirafan terhadap kepimpinan cemerlang beliau dalam memacu pertumbuhan syarikat.

Pengasas syarikat, Datuk Seri Mossco berkata, kejayaan meraih pengiktirafan tertinggi industri itu hasil daripada pencapaian cemerlang syarikat yang mencatatkan perolehan projek ratusan juta ringgit hasil penyempurnaan pelbagai projek berimpak tinggi.

“Kami amat berbangga dan gembira kerana usaha serta pencapaian syarikat terus diiktiraf oleh industri.

“Kejayaan ini mematangkan azam kami untuk terus berkembang pesat terutamanya dalam sektor infrastruktur, telekomunikasi dan perlombongan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis penganugerahan berkenaan malam tadi.

Mengulas mengenai faktor kejayaan syarikat yang ditubuhkan pada 2019 itu, Mosco menegaskan bahawa prinsip kepimpinan yang fokus, kepercayaan penuh terhadap rakan kongsi serta semangat kerja berpasukan menjadi teras utama syarikatnya.

“Prinsip saya mudah, kita perlu teguh dengan matlamat yang ditetapkan dan fokus dalam industri yang diceburi.

“Paling penting ialah kepercayaan 100 peratus kepada rakan kongsi kerana penyempurnaan kerja yang berkualiti adalah kunci membawa syarikat ke tahap lebih tinggi,” katanya.

Mengenai perancangan masa depan, beliau memperincikan bahawa syarikat berhasrat menerajui teknologi telekomunikasi dan infrastruktur di Sabah, selain memperluaskan liputan projek tenaga hijau serta gentian optik.

Syarikat itu juga kini bekerjasama dengan Kerajaan Negeri Kelantan bagi membangunkan makmal ujian perlombongan khas bagi unsur nadir bumi (REE) dan emas.

“Makmal ujian di Kelantan ini bakal menjadi yang pertama di Malaysia dan Asia Tenggara yang dilengkapi Prosedur Operasi Standard (SOP) khas bagi ujian REE. Ini adalah satu pencapaian yang amat kami banggakan,” katanya.

Beliau turut menetapkan sasaran jangka panjang syarikat yang tinggi, dengan meletakkan wawasan untuk membawa nama Cosmos International Consultancy ke peringkat antarabangsa.

“Matlamat dan aspirasi masa depan kami di Cosmos adalah untuk menjadi sebuah lagi syarikat senaraian World Fortune 500 dari Malaysia,” tegas Mossco.

Sementara itu, Subha menzahirkan penghargaan kepada pengasas syarikat atas kepercayaan yang diberikan serta menekankan bahawa anugerah yang diterimanya adalah hasil kerja berpasukan seluruh warga syarikat.

“Pertama sekali, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Datuk Seri Mossco kerana memberi peluang dan kepercayaan kepada saya untuk memimpin Cosmos. Anugerah ini bukan kejayaan saya seorang, tetapi adalah hasil kerja berpasukan,” katanya.

Beliau menambah, kunci utama kepimpinan syarikat berasaskan prinsip perancangan yang rapi serta sentiasa dahagakan inovasi dan kemajuan teknologi baharu.

“Mantra kami mudah, ‘plan your work and work your plan’. Di Cosmos, kami sentiasa dahagakan inovasi, teknologi baharu, dan mahu terus maju ke hadapan.

“Perkembangan teknologi seperti 5G dan bakal menyusul 6G berlaku sangat pantas, jadi kami sentiasa bersedia untuk mencuba perkara baharu,” katanya.

Subha turut menasihati usahawan baharu agar sentiasa teguh dengan pegangan, menjaga integriti serta mengamalkan prinsip memberi kembali kepada masyarakat.

“Teguhlah dengan apa yang anda percayai. Integriti sangat penting dan sentiasalah ada prinsip untuk memberi kembali kepada masyarakat. Kita berkembang, kita belajar, dan kita memberi kembali,” ujarnya.

Cosmos International Consultancy kini mempunyai persekitaran perniagaan yang kukuh di Semenanjung, Sabah dan Kelantan yamg membuka banyak peluang pekerjaan.

Antara projek utama yang dijayakan syarikat termasuklah pelaksanaan fasa pertama meter pintar di Sabah serta projek jajaran semula gentian optik sepanjang lebih 200 kilometer di laluan Pan Borneo.