KENINGAU, SABAH – Sekumpulan guru dari Kolej Vokasional (KV) Keningau telah menerbitkan artikel ilmiah di jurnal akademik antarabangsa yang menunjukkan kesan positif khidmat komuniti secara langsung kepada ketahanan emosi pelajar dalam menghadapi cabaran ataupun tekanan. Artikel bertajuk “Beyond Beauty: Enhancing Cosmetology’s Students’ Emotional Resilience Through a Wellness Community Project on Senior Citizens” tersebut diterbitkan di International Journal of Multidisciplinary: Applied Business and Education Research pada 23 Jun 2026.
Terdapat tujuh penyelidik bagi kajian ini iaitu Bibiana Paulus, Vienny Balakrishnan, Diana Kayunon, Alvy Wendyline Florentius, Nur Syahida Mohd Nazri, Dr. Sirhajwan Idek dan Lumang anak Lang.
Kajian ini menganalisis dapatan daripada soal-selidik yang dijawab oleh 19 orang pelajar program Kosmetologi setelah melaksanakan perkhidmatan dandan diri seperti rawatan kuku kaki dan tangan serta urutan badan terhadap 44 penghuni rumah orang tua Holy Family Residence for Senior Citizens, Papar.
Hasil kajian menunjukkan tahap kebijaksanaan emosi para pelajar semasa berinteraksi dengan penghuni rumah orang tua tersebut melalui rawatan dandan diri mempengaruhi ketahanan mereka dalam menghadapi cabaran dan tekanan.
Para pelajar yang mampu memahami emosi mereka sendiri serta emosi para penghuni di rumah orang tua itu menunjukkan tahap ketahanan menghadapi cabaran yang lebih tinggi.
Kajian ini menujukkan bahawa khidmat komuniti mampu memperkukuhkan ketahanan emosi para pelajar.
Pengarah KV Keningau, Lumang anak Lang, menjelaskan bagaimana kajian ini penting dalam memastikan pelaksanaan khidmat komuniti oleh institusi tersebut membantu membentuk perwatakan dan jati diri para pelajar agar mereka sentiasa berbuat baik untuk orang lain.






