KOTA KINABALU: Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah dijangka dibubarkan pada Isnin bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-17.
Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor dijangka menghadap Yang di-Pertua Negeri Tun Musa Aman untuk mendapat perkenan.
Pembubaran itu sekali gus menamatkan spekulasi berhubung tarikh sebenar tamat penggal pentadbiran selepas wujud kekeliruan mengenai sidang khas DUN pada 9 Oktober 2020.
Sementara itu, perkembangan politik Sabah turut menyaksikan beberapa parti termasuk Sabah STAR dan SAPP meninggalkan Gabungan Rakyat Sabah (GRS), yang dipercayai antara faktor kelewatan pengumuman rasmi pembubaran.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dijangka mengumumkan tarikh penamaan calon dan pengundian selepas pembubaran rasmi dibuat.
PRN kali ini dijangka menyaksikan persaingan sengit antara parti kerajaan, blok pembangkang serta parti baharu.
Penganalisis politik berpendapat PRN17 bakal menjadi penentu hala tuju politik Sabah, khususnya selepas perubahan landskap gabungan parti dalam tempoh beberapa bulan kebelakangan ini.






