TAWAU: Operasi Loji Rawatan Air (LRA) Apas Balung 1 dan 2 di bawah Jabatan Air Bahagian Tawau dihentikan sementara susulan kejadian banjir yang menyebabkan bangunan loji serta pam dimasuki air.
Jabatan Air Bahagian Tawau menerusi satu kenyataan di Facebook hari ini memaklumkan, langkah itu diambil sebagai tindakan keselamatan sementara menunggu keadaan kembali pulih.
Menurut jabatan itu, pihaknya kini sedang memantau situasi di lokasi dan akan melaksanakan kerja-kerja pemulihan sebaik keadaan mengizinkan bagi memastikan operasi loji dapat disambung semula dengan selamat.
“Operasi Loji Rawatan Air (LRA) Apas Balung 1 dan 2 Jabatan Air Bahagian Tawau terpaksa dihentikan buat sementara waktu berikutan kejadian banjir yang menyebabkan bangunan loji serta pam dimasuki air.
“Pihak Jabatan Air Bahagian Tawau sedang memantau keadaan dan akan menjalankan kerja-kerja pemulihan sebaik keadaan mengizinkan bagi memastikan operasi dapat disambung semula dengan selamat,” menurut kenyataan itu.
Jabatan itu turut memaklumkan bahawa sebarang perkembangan terkini berhubung status operasi loji akan dimaklumkan dari semasa ke semasa menerusi saluran rasmi jabatan.
Dalam pada itu, Jabatan Air Bahagian Tawau memohon maaf atas segala kesulitan yang dialami pengguna dan menghargai kerjasama serta kefahaman orang ramai sepanjang tempoh gangguan operasi berkenaan.






