TAWAU: Daerah Tawau hari ini diisytiharkan sebagai kawasan bencana banjir susulan keadaan banjir yang melanda di beberapa lokasi.
Pengisytiharan itu dibuat pada jam 8.30 pagi oleh Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Tawau, Mohd Shoffian Mohd Said.
Menurut Mohd Shoffian, pengisytiharan berkenaan dibuat berdasarkan penilaian semasa oleh agensi-agensi dalam JPBD terhadap situasi banjir di daerah berkenaan.
“Berdasarkan laporan dan maklumat di lapangan yang diterima daripada agensi-agensi dalam JPBD, adalah diisytiharkan bahawa telah berlaku bencana banjir di daerah Tawau,” katanya.
Sementara itu, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah memaklumkan seramai 48 penduduk yang terperangkap dalam kejadian banjir kilat di Kampung Tanjung Batu Keramat berjaya dipindahkan ke sebuah masjid berhampiran yang dijadikan sebagai pusat pemindahan sementara (PPS).
Selain Kampung Tanjung Batu Keramat, banjir turut menjejaskan Taman Ria 1, Taman Hot Spring, Perumahan Taman Sunshu dan Taman Sri Balung.
“Pasukan bomba telah menjalankan pemantauan di semua lokasi yang terjejas. Seramai 48 mangsa yang terperangkap di Kampung Tanjung Batu Keramat berjaya dipindahkan ke sebuah masjid berhampiran yang dijadikan sebagai pusat pemindahan sementara.
“Operasi pemantauan dan pemindahan mangsa dijalankan ketika paras air dilaporkan semakin surut dan keadaan berada dalam keadaan terkawal,” jelas Bomba Sabah dalam kenyataan hari ini.
Menurut kenyataan itu lagi, sepanjang operasi, Bilik Kawalan BBP Tawau turut menerima beberapa panggilan kecemasan berkaitan kejadian banjir di kawasan terjejas, manakala pasukan bomba terus memantau perkembangan semasa serta memberikan bantuan yang diperlukan.
Daripada keseluruhan mangsa yang dipindahkan, seorang adalah warga emas lelaki, seorang warga emas wanita, sembilan lelaki dewasa, 19 wanita dewasa, 11 kanak-kanak lelaki dan tujuh kanak-kanak perempuan.






