KOTA KINABALU, SABAH – Pusat Minda Lestari (PML) Universiti Malaysia Sabah (UMS) mengadakan Program Aktiviti STEM@STEMLAB Makerspace bertempat di U-Science UMS baru-baru ini.
Penyelia program Jaini Sapirai berkata, penganjuran itu antara lain bertujuan untuk memberi pendedahan kepada murid PML terhadap bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).
“Di samping itu, ia bagi memberi pengalaman secara praktikal kepada murid untuk mengaplikasi pengetahuan dalam bilik darjah di dalam dunia sebenar.
“Mereka telah didedahkan pengetahuan tentang bagaimana aplikasi STEM digunakan dalam kehidupan seharian,” katanya…
Menurut Jaini, program selama tiga hari itu sekali gus dilihat mampu meningkatkan minat para murid terhadap STEM.
“Antara aktiviti yang diadakan termasuklah Miracles Butterfly, Static Electricity Butterfly dan Rocket Ballon.
“Impak dari program ini juga membina ciri-ciri murid yang kreatif, inovatif dan kolaboratif…
“Selain memberi keseronokan, ia juga membuka mata para murid terhadap aplikasi sains dalam kehidupan serta memberikan peluang untuk melakukan sendiri aktiviti STEM,” katanya.
Seramai 50 murid berumur lingkungan 5 – 9 tahun beserta lapan guru terlibat dalam menjayakan program berkenaan.