KOTA KINABALU: Kemajuan negara mesti dirasai dalam kehidupan rakyat melalui pendapatan keluarga yang mencukupi serta peluang pendidikan dan pekerjaan yang baik untuk anak muda.
Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Sabah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dilantik, Datuk Ceasar Mandela Malakun berkata, rakyat Sabah perlu turut menikmati manfaat kemajuan itu.
“Negara boleh menjadi lebih kaya. Tetapi kemajuan itu mestilah dirasai dalam kehidupan mereka,” katanya menerusi hantaran Facebook sempena Hari Malaysia, hari ini.
Menurutnya, rakyat Sabah turut mempunyai cita-cita serta keinginan untuk berusaha dan menyumbang kepada negara.
“Malaysia akan menjadi lebih kuat apabila setiap wilayah dapat maju bersama. Jika jurang pembangunan terus besar, masih banyak kerja yang perlu kita lakukan,” katanya.
Beliau berkata, makna Hari Malaysia terletak pada tanggungjawab bersama untuk memastikan kemakmuran negara dinikmati seluruh rakyat.
“Kita membentuk sebuah negara bersama. Tanggungjawab kita ialah memastikan kemakmurannya turut dinikmati bersama,” katanya.






