Belanjawan JPM – Ewon Bangkitkan Peruntukan PANTAS, Penyelarasan Biasiswa Anak Sabah dan...

Belanjawan JPM – Ewon Bangkitkan Peruntukan PANTAS, Penyelarasan Biasiswa Anak Sabah dan Borneonisasi

0
SHARE

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Penampang, Datuk Ewon Benedick membangkitkan beberapa perkara berkaitan kepentingan Sabah termasuk peruntukan Program Pengukuran Tanah Anak Negeri Sabah (PANTAS), penyelarasan biasiswa kepada anak Sabah serta pelaksanaan dasar Borneonisasi Perkhidmatan Awam Persekutuan.

Beliau membangkitkan perkara itu ketika membahaskan Belanjawan 2027 pada peringkat Jawatankuasa bagi Jabatan Perdana Menteri (JPM) di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.

Ewon yang juga Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Sabah menggesa Kerajaan Persekutuan mengekalkan peruntukan PANTAS sekurang-kurangnya RM76 juta sepanjang Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), dari 2026 hingga 2030.

Beliau berkata, program itu telah dilaksanakan sejak Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK10) dan menerima peruntukan keseluruhan sebanyak RM202.45 juta sepanjang RMK10 hingga RMK12.

Bagaimanapun katanya, siling peruntukan PANTAS bagi RMK13 hanya RM10 juta, termasuk RM1 juta yang telah disalurkan bagi tahun 2026.

“Saya menggesa Kerajaan Persekutuan agar mengekalkan jumlah peruntukan pelaksanaan PANTAS bagi RMK13 (2026-2030) sepertimana peruntukan bagi RMK12 (2021-2025) iaitu sekurang-kurangnya tidak kurang daripada RM76 juta atau tidak kurang daripada RM15 juta setahun sebagai antara program utama Agenda Ekonomi Bumiputera di Sabah,” katanya.

Sehubungan itu, beliau turut mencadangkan supaya fungsi Bahagian Hal Ehwal Sabah dan Sarawak (BHESS) di bawah JPM dimurnikan bagi membolehkan bahagian berkenaan memantau pelaksanaan program khusus di Sabah.

“Saya turut mencadangkan agar BHESS dipertanggungjawabkan untuk memantau Program Khas Anak Negeri Sabah ini,” katanya.

Mengenai biasiswa pendidikan, Ewon menghargai pengumuman Belanjawan 2027 yang menggandakan tawaran tajaan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) kepada anak kelahiran Sabah dan Sarawak, membabitkan 4,200 pelajar setiap tahun.

Beliau berkata, Kerajaan Sabah turut menyediakan Biasiswa Kerajaan Negeri Sabah (BKNS) dengan peruntukan tahunan mencecah RM155 juta.

Justeru, katanya, penyelarasan lebih baik antara JPA Persekutuan dengan JPA Sabah perlu dilaksanakan supaya peluang mendapatkan biasiswa dan tajaan turut diperluas kepada pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah.

“Saya mencadangkan agar penyelarasan yang lebih baik di antara JPA Persekutuan dengan JPA Sabah supaya tidak hanya pelajar-pelajar cemerlang yang mendapat biasiswa dan tajaan, tetapi juga pelajar-pelajar yang mendapat keputusan sederhana tetapi datang daripada keluarga yang berpendapatan rendah,” katanya.

Beliau membangkitkan perkara itu ketika menyentuh peruntukan sebanyak RM1.07 bilion bagi Program Biasiswa dan Pinjaman Pelajaran JPA dalam Belanjawan 2027.

Mengenai pelaksanaan dasar Borneonisasi, Ewon menggesa Kerajaan Persekutuan meningkatkan pengambilan anak tempatan Sabah dalam perkhidmatan awam Persekutuan, termasuk pelantikan mereka sebagai ketua jabatan.

“Saya juga menggesa agar dasar Borneonisasi Perkhidmatan Awam Persekutuan sepertimana dalam semangat Perjanjian Malaysia 1963 dapat ditingkatkan secara berterusan bukan hanya dari segi pengambilan, tetapi juga perlantikan Ketua-Ketua Jabatan Persekutuan di Sabah di kalangan anak-anak tempatan Sabah,” katanya.

Beliau turut meminta Kerajaan Persekutuan memberikan pengesahan mengenai jumlah dan peratusan pengambilan anak tempatan Sabah berbanding keseluruhan perjawatan awam Persekutuan di negeri itu.

Perkara itu dibangkitkan ketika membahaskan peruntukan RM2.736 juta kepada Urus Setia Cawangan Sabah, Suruhanjaya Perkhidmatan Awam bagi menguruskan hal ehwal pengambilan dan perkhidmatan calon serta pegawai Perkhidmatan Awam Am Persekutuan di Sabah.

Dalam perbahasan sama, Ewon turut menyentuh pentadbiran Mahkamah Anak Negeri (MAN) di Labuan yang kini berada di bawah tanggungjawab Kerajaan Persekutuan.

“Saya menggesa agar ethos, semangat, jiwa dan fungsi MAN Labuan masih berasaskan kepada Enakmen Mahkamah Anak Negeri Sabah termasuklah perjawatan seperti Ketua Anak Negeri yang harus mencakupi lantikan bagi masyarakat Anak Negeri beragama Islam dan lantikan bagi masyarakat Anak Negeri yang bukan beragama Islam,” katanya.

Sementara itu, beliau turut meminta penjelasan mengenai peningkatan peruntukan Majlis Keselamatan Negara (MKN) kepada RM746.47 juta bagi tahun 2027 berbanding anggaran dipinda sebanyak RM68.30 juta pada 2026.

“Apakah perincian projek atau perolehan aset yang mahu dilaksanakan di bawah peruntukan ini? Atau adakah peningkatan peruntukan ini disebabkan adanya PRU-16 yang mungkin diadakan tahun hadapan? Apakah program atau projek yang akan dilaksanakan bagi Sabah di bawah butiran peruntukan ini?” katanya.