TAWAU: Projek mural Street Art Tawau bukan sekadar mengubah wajah bandar menjadi lebih ceria dan menarik, malah menjadi platform penting dalam mencungkil bakat belia serta merancakkan pertumbuhan ekonomi kreatif yang semakin berkembang di Sabah.
Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, kejayaan projek tersebut membuktikan bahawa seni kreatif mampu menjadi pemangkin pembangunan bandar, selain membuka peluang ekonomi kepada golongan muda yang berbakat.
Menurut beliau, projek mural yang menghiasi bangunan milik Vui Leong Chi di Jalan Haji Karim, Fajar merupakan hasil kerjasama strategik antara Majlis Perbandaran Tawau (MPT), sektor swasta dan pemilik bangunan dalam usaha memperindah persekitaran bandar serta memperkukuh tarikan pelancongan.
“Dulu dinding bangunan ini kelihatan biasa dan kurang menarik. Hari ini ia telah bertukar menjadi karya seni yang menceriakan suasana bandar dan menjadi tarikan visual kepada masyarakat serta pelancong yang berkunjung ke Tawau.
“Ini menunjukkan bagaimana seni kreatif boleh memberi nafas baharu kepada sesuatu kawasan, sekali gus meningkatkan imej bandar dan nilai persekitarannya,” katanya ketika merasmikan Program Perasmian Lukisan Mural Street Art Tawau, di sini pada Sabtu.
Beliau berkata, projek berkenaan direalisasikan menerusi sumbangan tanggungjawab sosial korporat (CSR) NutriPlus dengan sokongan Jawatankuasa Kecantikan Bandar MPT yang dipengerusikan oleh Gan.
Mural tersebut dihasilkan oleh pelukis tempatan, Andi Syafie dan Yaulacap daripada Yol Ideas Makers yang sebelum ini turut menghasilkan beberapa karya seni awam di pelbagai bandar di Malaysia.
Menurut Nizam, mural berkenaan merupakan karya keempat yang berjaya disiapkan oleh kumpulan itu di Tawau, sekali gus membuktikan kemampuan anak tempatan untuk menghasilkan karya seni bertaraf profesional yang mampu memberi impak kepada pembangunan bandar.
“Saya amat berbangga kerana saudara Andi Syafie yang berasal dari Tawau masih berada dalam kategori belia. Ini membuktikan bahawa golongan muda Sabah memiliki bakat dan kreativiti yang mampu diketengahkan sehingga menjadi sumber pendapatan serta mencipta peluang ekonomi baharu,” katanya.
Beliau berkata, bidang seni, muzik dan industri kreatif kini bukan lagi sekadar hobi, sebaliknya muncul sebagai sektor ekonomi yang berpotensi tinggi untuk menjana pendapatan dan membuka peluang pekerjaan kepada generasi muda.
“Apabila kemahiran dan kreativiti belia diperkasakan, ia bukan sahaja memberi manfaat kepada individu, malah mewujudkan limpahan ekonomi kepada komuniti setempat, negeri dan negara,” katanya.
Dalam pada itu, Nizam menggalakkan lebih ramai pemilik bangunan di Tawau tampil bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan bagi memperluaskan projek mural dan inisiatif pengindahan bandar.
Beliau berkata, usaha berterusan itu penting bagi memastikan Tawau terus berkembang sebagai bandar yang bersih, selamat, menarik dan mempunyai identiti tersendiri.
“Apabila bandar kita menjadi lebih indah dan berdaya tarikan, lebih ramai pelancong akan datang untuk melihat, merakam gambar dan menikmati pengalaman di Tawau. Ini secara tidak langsung memberi manfaat kepada sektor pelancongan dan ekonomi tempatan,” katanya.
Program tersebut merupakan sebahagian daripada usaha berterusan kerajaan negeri untuk memperkukuh ekosistem ekonomi kreatif Sabah serta mengangkat Tawau sebagai antara bandar seni dan pelancongan yang berdaya saing di rantau ini.
Turut hadir Timbalan Presiden Majlis Perbandaran Tawau, Mohd Shoffian Mohd Said. – Jabatan Penerangan






