
TONGOD, SABAH – Masyarakat perlu menghayati dan melihat sumbangan yang boleh diberikan kepada negara dalam meneruskan perjuangan pemimpin terdahulu.
Pengerusi Lembaga Pembangunan Perumahan Dan Bandar (LPPB) Sabah merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuamut, Datuk Masiung Banah berkata kita perlu mengisi kemerdekaan yang telah diperjuangkan generasi dahulu.
“Ini kerana kita tidak terlibat dalam perjuangan memerdekakan negara, tapi apa yang penting kita menyambung dan mendidik generasi menjadi warganegara yang mempunyai dorongan dan sokongan kepada negara tercinta ini,” katanya selepas merasmikan Kembara Merdeka Jalur Gemilang (KMJG) Peringkat Daerah Tongod di Dewan Kampung Simpang Entilibon.
Konvoi KMJG yang diketuai Pengarah Penerangan Negeri Sabah, Jainisah Mohd Noor tiba di Tongod selepas singgah di Pekan Kundasang dan menjadi perhentian ke-50 program tahunan tersebut.
Turut hadir, Pegawai Daerah Tongod Nelson Domil Oluk. — JABATAN PENERANGAN SABAH