6,000 Murid Seluruh Negara Dijangkiti Influenza, Beberapa Sekolah Ditutup Sementara

6,000 Murid Seluruh Negara Dijangkiti Influenza, Beberapa Sekolah Ditutup Sementara

0
SHARE

PUTRAJAYA: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengesahkan kira-kira 6,000 murid di bawah kendalian kementerian di seluruh negara dilaporkan dijangkiti virus influenza, dengan beberapa sekolah turut diarahkan menutup operasi sementara waktu atas nasihat Pejabat Kesihatan Daerah (PKD).

Ketua Pengarah Pendidikan, Dr. Mohd Azam Ahmad berkata, langkah penutupan sekolah dibuat secara bersasar berdasarkan tahap penularan kes di sesebuah kawasan dan tindakan itu dilaksanakan setelah mendapat nasihat rasmi daripada pihak kesihatan.

“Ada sekolah yang ditutup. Setakat hujung minggu lalu, kira-kira 6,000 murid dilaporkan berdepan jangkitan influenza. Namun, ia tidak tertumpu di satu kawasan sahaja, sebaliknya melibatkan beberapa sekolah di lokasi berbeza,” katanya dalam sidang media khas KPM di Putrajaya, semalam.

Beliau berkata, pihak KPM kini berhubung rapat dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi memantau situasi semasa, terutama menjelang peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang dijadual bermula pada 3 November ini.

Menurutnya lagi, negeri Johor antara kawasan yang terlibat, namun jumlah sebenar sekolah yang ditutup masih dalam proses pengesahan.

Dalam pada itu, Dr. Mohd Azam menyeru semua institusi pendidikan supaya mematuhi garis panduan pengurusan penyakit berjangkit serta melaporkan segera sebarang kes kepada pejabat kesihatan berdekatan.

Beliau turut menasihatkan agar pelajar dan warga sekolah memakai pelitup muka, mengamalkan kebersihan diri, serta mengurangkan aktiviti berkumpulan bagi mengekang penularan virus influenza di sekolah.