
GEORGETOWN, PULAU PINANG – Guru yang menghasilkan poster pertandingan buku skrap sempena bulan kemerdekaan yang mengundang kecaman rakyat Malaysia sudah memohon maaf pada Jumaat lalu.
Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Pulau Pinang Datuk Abdul Said Hussain berkata, bagaimanapun pihaknya sedang menunggu laporan penuh berhubung isu tersebut sebelum dihantar ke Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).
“Guru tersebut sudah mohon maaf atas kesilapan yang amat mengecewakan petang semalam (Jumaat) dan saya sedang tunggu laporan untuk dihantar ke Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM),” katanya seperti dilapor Sinar Harian, semalam.
Baru-baru ini tular sebuah poster sebuah pertandingan buku skrap sempena bulan kemerdekaan yang bertemakan tokoh kemerdekaan di Malaysia.
Poster tersebut mengundang perdebatan dan pertikaian ramai kerana memaparkan gambar tiga anggota tentera China.
Warganet turut memaksa pihak sekolah membuat penjelasan serta permohonan maaf selain menggesa tindakan tegas dikenakan terhadap pihak yang menghasilkan poster tersebut untuk dijadikan pengajaran.