KOMPONEN GRS DEPANI PRN DENGAN KUALITI, BUKAN KUANTITI: KM HAJIJI

KOMPONEN GRS DEPANI PRN DENGAN KUALITI, BUKAN KUANTITI: KM HAJIJI

0
SHARE
Hajiji
Hajiji meninjau bazar Ramadan berdekatan CKS Kampung Selupoh ( Sumber Foto: Ihsan JKM Sabah )

TUARAN, SABAH – Parti komponen dan rakan kongsi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) perlu pertimbang gambaran yang lebih besar dengan meletakkan hanya calon yang boleh menang di pilihan raya negeri seterusnya kata Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor.

Hajiji yang merupakan pengerusi GRS berkata sekarang bukan masanya untuk melobi kerusi.

“Lagipun, kita semua akan menggunakan satu simbol iaitu simbol GRS. Jadi ia bukan semuanya tentang kerusi tetapi apa yang kita mahukan ialah calon yang boleh menang.

“Saya berharap semua pemimpin kita menggunakan kebijaksanaan mereka dalam meneruskan perjuangan untuk rakyat dan pembangunan negeri,” katanya pada majlis berbuka puasa Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS) Sulaman di Pusat Kebudayaan Rumpun Bajau Sama di Lok Batik semalam.

Beliau turut mengingatkan pemimpin Gagasan Rakyat di Sulaman untuk meneruskan perjuangan dan kerjasama di peringkat akar umbi.

“Ini amat penting memandangkan cabaran yang kita hadapi,” katanya sambil mengulangi bahawa penggal Dewan Undangan Negeri akan tamat pada Oktober tahun depan.

Hajiji yang merupakan presiden Gagasan Rakyat berkata adalah penting bahawa pemimpin akar umbi turun padang dan mendekati rakyat untuk memahami masalah mereka dan membawanya ke perhatian pucuk pimpinan.

Ahli Dewan Undangan Negeri Sulaman itu berkata pada masa ini, terdapat lebih 200 cawangan di kawasan pilihan rayanya yang menunjukkan sokongan terhadap Gagasan Rakyat yang kini mendapat tarikan.

“Semua ini hanya boleh dicapai jika kita bersatu. Elakkan isu remeh atau peribadi tetapi sebaliknya lihat gambaran yang lebih besar iaitu kita memerlukan kerajaan yang stabil,” katanya.

Menurutnya, lanskap politik masa kini semakin mencabar dan kadang kala tidak masuk akal.

“Pembangkang menyalahkan saya dalam media sosial atas kemarau yang sedang menjejaskan Sabah,” katanya.

Namun begitu, Hajiji berkata semua pemimpin dan ahli parti perlu berpegang teguh kepada prinsip dan kebijaksanaan.

Beliau menggesa ahli parti untuk menjalankan tanggungjawab mereka dan mempertahankan parti daripada fitnah parti pembangkang.

Hajiji bersama lebih 1,000 pengundi Sulaman berbuka puasa bersama.

Sebelum itu, Hajiji ditemani anaknya Mohd Danish melawat Bazar Ramadan di CKS Kampung Selupoh di mana mereka membeli juadah berbuka.

Selepas itu, Hajiji mempengerusikan mesyuarat Gagasan Rakyat bahagian Sulaman di bilik mesyuarat Pusat Kebudayaan Rumpun Bajau Sama.