Wan Saiful Dipecat Bersatu, Wan Ahmad Fayhsal Digantung Keahlian Satu Penggal

Wan Saiful Dipecat Bersatu, Wan Ahmad Fayhsal Digantung Keahlian Satu Penggal

0
SHARE

KUALA LUMPUR: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) telah memecat Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi, Datuk Wan Saiful Wan Jan, selepas didapati melanggar perlembagaan dan kod etika parti.

Manakala, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal digantung keahlian bagi tempoh satu penggal di bawah Fasal 22.5 Perlembagaan Bersatu.

Menurut laporan Astro Awani, Lembaga Disiplin Bersatu dalam kenyataan pada Selasa memaklumkan bahawa tindakan itu dibuat selepas menerima aduan bertulis daripada ahli parti terhadap beberapa individu yang didakwa melanggar tatakelakuan dan peruntukan perlembagaan parti.

Selain Wan Saiful, empat lagi ahli turut dipecat, iaitu Mohd Azrudin Md Idris, Mohd Faizal Asmar, Mohd Fahdli Ismail dan Mohd Isa Mohd Saidi.

Lembaga Disiplin menjelaskan bahawa sesi pendengaran telah diadakan pada 8 Oktober 2025, dan keputusan dibuat selepas siasatan menyeluruh serta selaras dengan Fasal 9.1.4 dan Kod Etika & Tatakelakuan Ahli.

“Semua keputusan dibuat secara bebas, telus dan adil tanpa campur tangan mana-mana pihak luar. Ahli yang dikenakan tindakan berhak mengemukakan rayuan kepada Lembaga Rayuan dalam tempoh 14 hari,” menurut kenyataan itu.

Lembaga Disiplin turut menyeru semua ahli parti agar sentiasa mematuhi perlembagaan dan kod etika demi menjaga integriti serta nama baik Bersatu.