TAWAU: Ketua Bahagian Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Apas, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan, menegaskan bahawa kekuatan sebenar jentera parti terletak pada hubungan rapat dan kepercayaan yang dibina bersama rakyat di peringkat akar umbi.
Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan Mesyuarat PGRS Bahagian Apas yang diadakan di Bilik Mesyuarat Gagasan Rakyat Apas, Sabindo Square, bagi membincangkan persiapan dan strategi menghadapi Pilihan Raya Negeri Sabah ke-17 (PRN-17) yang dijangka diadakan tidak lama lagi.
“Kerjasama padu antara jentera parti di semua peringkat amat penting bagi memastikan kesiapsiagaan kita benar-benar mantap.
“Dalam masa yang sama, kita mesti terus memperkukuh hubungan dengan rakyat kerana ‘Rumah Kita, Kita Jaga’ bukan sekadar slogan, ia adalah amanah dan tanggungjawab bersama,” katanya dalam kenyataan di laman Facebook rasminya pada Isnin.
Nizam yang juga penyandang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Apas turut menegaskan bahawa rakyat perlu terus diyakinkan tentang usaha berterusan kerajaan di bawah naungan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang telah melaksanakan pelbagai inisiatif pembangunan, peningkatan prasarana serta program kebajikan untuk kesejahteraan masyarakat.
“Di bawah kepimpinan GRS, kita telah menyaksikan pelbagai kemajuan yang nyata memberi manfaat kepada rakyat Sabah.
“Oleh itu, adalah penting agar mandat rakyat terus dikekalkan kepada GRS bagi memastikan kestabilan politik, kesinambungan pembangunan dan masa depan yang lebih makmur untuk negeri ini,” ujar beliau.






