PENAMPANG: Seorang penunggang motosikal maut selepas melanggar bahagian belakang sebuah kenderaan pacuan empat roda di Jalan Papar–Kota Kinabalu KM14.6, berhampiran Kampung Meruntum, Putatan, malam tadi.
Mangsa, lelaki tempatan berusia 25 tahun, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Timbalan Ketua Polis Daerah Penampang, DSP Erwansyah Abdul Basir berkata, siasatan awal mendapati pelanggaran menyebabkan mangsa tercampak ke lorong kanan jalan.
“Kemalangan dipercayai berlaku apabila motosikal melanggar bahagian belakang kenderaan tersebut,” katanya.
Pemandu dan penumpang kenderaan pacuan empat roda tidak cedera.
Polis turut mendapati kenderaan itu ditinggalkan kira-kira 1.5 kilometer dari lokasi sebelum dibakar oleh individu tidak dikenali.
Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.






