LONDON, BRITAIN – Britain dan sekutunya tidak akan teragak-agak untuk mengerahkan askar ke Ukraine sekiranya Rusia terbukti menggunakan senjata kimia.
Menteri Angkatan Tentera Britain, James Heappy menyatakan perkara tersebut dan semua pilihan sudah dibentangkan dari segi kemungkinan tindak balas yang bakal diambil oleh Barat.
Beliau ketika itu menjawab kepada laporan yang tidak disahkan bahawa tentera Kremlin telah melancarkan serangan biologi ketika mengepung Mariupol, lapor akhbar The Sun.
Malam semalam, ahli parlimen Ukraine, Ivanna Klympush mendedahkan ‘bahan tidak diketahui’ yang telah digunakan sehingga menyebabkan mangsa mengalami serangan pernafasan.
“Ia berkemungkinan besar senjata kimia. Ini adalah ‘garis merah’ di mana dunia mesti memusnahkan ekonomi despotisme,” kata Klympush…
Tambah Heappy, pelepasan senjata biologi oleh Moscow adalah tidak boleh diterima dan melepasi ‘garisan merah’ bagi Barat.





