KOTA KINABALU: Seramai 484 calon Sijil Pelajar Malaysia (SPM) 2023 di negeri ini berjaya memperoleh keputusan cemerlang gred A+, A dan A- dalam semua mata pelajaran berbanding 344 calon pada tahun 2022.
Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sabah (JPNS), Datuk Raisin Sadin berkata, bilangan calon yang memperoleh keputusan cemerlang telah menunjukkan peningkatan sebanyak 140 calon.
“Bilangan calon yang memperoleh sekurang-kurangnya kepujian atau gred C dalam semua mata pelajaran adalah seramai 5,046 calon pada tahun 2023 berbanding 4,583 calon pada tahun 2022 yang mana menunjukkan peningkatan sebanyak 463 calon.
“Secara keseluruhan pencapaian calon peperiksaan SPM tahun 2023 adalah lebih baik berdasarkan indeks Gred Purata Negeri (GPN) berbanding tahun lepas dengan nilai GPN 5.09 mata berbanding 5.22 mata pada tahun 2022,” katanya dalam majlis pengumuman keputusan peperiksaan SPM Tahun 2023 di Wisma JPNS di sini, hari ini.
Sebelum itu, teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Pengarah JPNS, Nurani Fauziah Derin.
Tambah beliau, berdasarkan GPN itu juga pencapaian calon SPM 2023 di bandar menurun sebanyak 0.10 mata iaitu 5.28 mata berbanding 5.38 mata pada tahun 2022, di mana penurunan angka tersebut menunjukkan keputusan yang semakin baik.
“Manakala pencapaian GPN bagi calon luar bandar turut menurun sebanyak 0.20 mata iaitu 4.75 mata berbanding 4.95 mata pada tahun sebelumnya,” jelasnya.






