KINABATANGAN: Seorang lelaki warga Filipina ditahan selepas pihak berkuasa menemukan pemilikan haram hidupan liar dilindungi, termasuk tenggiling hidup dan bahagiannya, dalam satu operasi bersepadu di Kampung Paris 3, di sini.
Jabatan Hidupan Liar Sabah dengan kerjasama Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 15 menjalankan operasi di bawah Operasi Bersepadu Khazanah (OBK) kira-kira jam 8.30 malam di pintu masuk Tye Yang Plantation.
Dalam operasi tersebut, pemeriksaan ke atas suspek berumur 27 tahun menemukan 10 ekor tenggiling hidup yang disimpan dalam jaring berwarna hijau, dua bungkusan plastik mengandungi sisik tenggiling dengan anggaran berat kira-kira sembilan kilogram serta satu batang disyaki gading gajah.
Kesemua hidupan liar dan bahagian yang dirampas akan disiasat lanjut, manakala suspek ditahan bagi membantu siasatan di bawah Enakmen Pemuliharaan Hidupan Liar 1997.
Pengarah Jabatan Hidupan Liar Sabah, Mohd Soffian Abu Bakar dalam kenyataan berkata pihaknya akan terus memperkukuh kerjasama strategik dengan agensi penguatkuasaan lain bagi membanteras aktiviti pemburuan, pemilikan dan perdagangan haram hidupan liar yang mengancam biodiversiti negeri ini.
Orang ramai turut diingatkan agar tidak terlibat dalam sebarang aktiviti pemilikan, penjualan atau pembelian hidupan liar dilindungi serta menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa sekiranya mengesan sebarang kesalahan.






