Di Bawah Kepimpinan Saya, KBSK Mesti Dibuktikan Sebagai Kementerian Strategik – Nizam

Di Bawah Kepimpinan Saya, KBSK Mesti Dibuktikan Sebagai Kementerian Strategik – Nizam

0
SHARE

KOTA KINABALU: Kementerian Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah (KBSK) mesti dibuktikan sebagai kementerian strategik yang menyumbang secara langsung kepada pembinaan modal insan, kesejahteraan sosial dan kekuatan ekonomi masa hadapan Sabah, dan bukan lagi sekadar kementerian sampingan.

Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata demikian ketika menyampaikan Amanat Menteri pada Majlis Amanat Menteri dan Lafaz Ikrar Bebas Rasuah (IBR) kementerian itu, di sini, hari ini.

Menurutnya, di bawah kepimpinannya, KBSK perlu memainkan peranan lebih besar selaras dengan hala tuju Sabah Maju Jaya 2.0 (SMJ 2.0) yang digagaskan oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor.

“Di bawah kepimpinan saya, Kementerian Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif bukan dan tidak boleh lagi dilihat sebagai kementerian pinggiran,” katanya.

Beliau turut menegaskan, penjenamaan MySpace bukan sekadar perubahan nama, sebaliknya satu tuntutan kepada standard kerja tinggi, pemikiran profesional dan komitmen tanpa kompromi terhadap kesejahteraan rakyat.

“Rakyat menilai kerajaan bukan pada slogan, tetapi pada kualiti perkhidmatan yang mereka terima setiap hari,” katanya.

Mengulas pelaksanaan SMJ 2.0, Datuk Nizam berkata ia bukan sekadar dokumen perancangan, tetapi satu komitmen politik dan pentadbiran untuk memimpin perubahan dalam dunia yang semakin kompleks, berdaya saing dan dipacu teknologi digital serta ekonomi baharu.

Dalam aspek pembangunan belia, beliau berkata belia Sabah perlu dilihat sebagai pemacu pembangunan masa kini dan aset strategik negeri.

“Belia bukan liabiliti. Mereka adalah aset strategik Sabah dan sebahagian daripada solusi kepada cabaran ekonomi negeri,” katanya.

Beliau berkata fokus kementerian adalah melahirkan belia berkemahiran tinggi, berdaya saing dan mampu mencipta nilai ekonomi melalui keusahawanan, ekonomi kreatif, teknologi digital dan sukan, dengan pendekatan inklusif merangkumi belia bandar, luar bandar dan pedalaman.

Menyentuh pembangunan sukan, beliau menegaskan sukan perlu dilihat sebagai pelaburan sosial dan ekonomi, bukan semata-mata kos.

“Sukan membentuk disiplin, kepimpinan dan semangat berpasukan, di samping berpotensi menjadi industri yang menyumbang kepada ekonomi dan imej negeri,” katanya.

Dalam pada itu, beliau mengumumkan Kerajaan Negeri Sabah akan melancarkan Tabung Kebajikan Penggiat-Penggiat Sukan Sabah pada tahun ini bagi menjaga kebajikan atlet, jurulatih dan penggiat sukan secara lebih berstruktur dan berterusan.

Mengulas ekonomi kreatif, Datuk Nizam berkata sektor itu mempunyai potensi besar berasaskan kekayaan budaya dan kreativiti tempatan Sabah yang perlu diterjemahkan kepada peluang pekerjaan dan sumber pendapatan bernilai tinggi.

Beliau sekali lagi menegaskan integriti dan tadbir urus bersih menjadi asas kepada semua perancangan kementerian.

“Tiada toleransi terhadap rasuah, salah guna kuasa atau kecuaian dalam menjalankan amanah,” katanya sambil menyeru seluruh warga KBSK bergerak sebagai satu pasukan, berfokuskan impak dan berpaksikan rakyat.