KOTA KINABALU: Sedcovest Holdings Sdn. Bhd. akan terus meningkatkan keupayaan dan memanfaatkan sepenuhnya aset serta kepakaran bagi membangunkan lebih ramai usahawan di Sabah, kata Pengerusinya, Datuk Redonah Bahanda.
Beliau menegaskan setiap aset Sedcovest bukan sekadar wujud di atas kertas, tetapi perlu digunakan secara optimum untuk memberi impak sebenar kepada organisasi.
“Utilisation aset bukan lagi pilihan, tetapi keperluan strategik untuk kelangsungan dan pertumbuhan,” ujar beliau semasa merasmikan pra pelancaran Pusat Inkubator Perniagaan (PIP) Anjung Selera, Likas.
Redonah berkata kejayaan Sedcovest ditentukan oleh keberanian untuk berubah, kesungguhan melaksanakan agenda, dan kesatuan sebagai satu pasukan.
Beliau menggesa warga kerja membina syarikat yang kukuh bukan sahaja dari segi kewangan, tetapi juga nilai, keyakinan, dan semangat kebersamaan.
Sebagai sebuah GLC, Sedcovest dipertanggungjawabkan untuk mencipta nilai sosial, membangunkan usahawan, dan memastikan prestasi kewangan yang mampan.
PIP Anjung Selera menyediakan premis perniagaan fleksibel dan ekonomik bagi usahawan PKS, sekaligus membina ekosistem menyokong mereka berkembang dan mencipta kejayaan baharu.
Redonah juga merakamkan penghargaan kepada mantan Pengerusi, Datuk Rubbin Guribah, atas sumbangan beliau, sambil menekankan legasi kepimpinan terdahulu perlu diperkasa demi kesinambungan kejayaan syarikat.
Majlis turut dihadiri barisan Lembaga Pengarah, pengurusan kanan, dan seluruh warga kerja Sedcovest.






