Lapangan Terbang Tawau Dinaik Taraf, Hab Penerbangan Baharu Pantai Timur Sabah

Lapangan Terbang Tawau Dinaik Taraf, Hab Penerbangan Baharu Pantai Timur Sabah

0
SHARE

TAWAU, 26 September – Projek menaik taraf Lapangan Terbang Tawau yang bakal bermula tahun depan dijangka mengubah wajah ekonomi dan pelancongan Pantai Timur Sabah.
Majlis pecah tanah projek itu disempurnakan oleh Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook, pagi tadi.

Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri merangkap ADUN N.68 Apas, Datuk Nizam Datuk Seri Panglima Abu Bakar Titingan berkata, penaiktarafan ini merupakan langkah strategik kerajaan dalam memastikan infrastruktur penerbangan di Sabah terus diperkukuh.

“Dengan terlaksananya projek ini, Lapangan Terbang Tawau bakal muncul sebagai salah satu hab penerbangan penting di Borneo. Ia akan melonjakkan sektor pelancongan, perdagangan dan ekonomi setempat, selain membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada rakyat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Antara komponen utama projek termasuk peluasan bangunan terminal penumpang, penaiktarafan landasan dan apron bagi menerima pesawat bersaiz besar, peningkatan sistem keselamatan serta navigasi, penyediaan kemudahan kargo moden, dan penambahan fasiliti mesra OKU serta teknologi digital pintar.

Datuk Nizam berkata, dengan kemudahan serba baharu ini, Lapangan Terbang Tawau mampu berperanan sebagai pintu masuk utama ke destinasi pelancongan popular seperti Semporna, Lahad Datu dan kawasan kepulauan sekitar.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Persekutuan atas komitmen tinggi dalam merealisasikan projek berimpak besar itu.

“Projek ini adalah bukti perhatian berterusan kerajaan kepada keperluan rakyat Sabah, khususnya di Pantai Timur,” ujarnya.

“Apabila siap kelak, Lapangan Terbang Tawau dijangka menjadi pemangkin pertumbuhan baharu yang menghubungkan Sabah ke lebih banyak destinasi domestik, serantau dan antarabangsa,” katanya.