Jangan Tertipu Janji Lama Berbungkus Baru – Nizam Selar Janji Shafie Hapuskan...

Jangan Tertipu Janji Lama Berbungkus Baru – Nizam Selar Janji Shafie Hapuskan PTPTN

0
SHARE

Oleh: Mirlen Axtius

KOTA KINABALU: Ketua Penerangan Parti Gagasan Rakyat Sabah, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan, menyelar kenyataan Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berhubung janji untuk melupuskan pinjaman pendidikan dan memberikan biasiswa penuh kepada anak-anak Sabah sebagai retorik politik menjelang Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17).

Nizam dalam satu kenyataan menyifatkan janji tersebut sebagai satu bentuk populisme murahan sambil mengingatkan rakyat bahawa semasa Shafie menjadi Ketua Menteri dari 2018 hingga 2020, tiada dasar konkrit berkaitan pelupusan hutang pendidikan yang dilaksanakan.

“Rakyat Sabah masih ingat, sepanjang Warisan mentadbir, tiada sebarang dasar pelupusan hutang PTPTN atau Yayasan Sabah dilaksanakan, walaupun beliau mempunyai kuasa penuh,” katanya di sini, hari ini.

Beliau juga mengingatkan rakyat agar tidak diperbodohkan oleh janji lama yang dibungkus semula dengan wajah baru, hanya untuk memancing undi golongan muda.

Sebaliknya, Nizam menegaskan bahawa Kerajaan GRS pimpinan Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor telah membuktikan komitmen terhadap pendidikan menerusi pelbagai inisiatif sebenar.

Inisiatif itu katanya, termasuklah, dana Bantuan Pendaftaran IPT kepada pelajar berpendapatan rendah; program Dermasiswa Sabah Maju Jaya; penambahan peruntukan Yayasan Sabah untuk biasiswa dan bantuan pendidikan; penambahbaikan sekolah daif luar bandar; dan penyaluran terus peruntukan kepada mahasiswa Sabah di luar negeri.

“Semua ini dilaksanakan dengan tanggungjawab fiskal, tanpa menjual harapan palsu atau memanipulasi isu hutang anak muda,” tambahnya.

Nizam menyeru rakyat Sabah, khususnya pengundi muda, agar menilai janji politik dengan kewarasan dan menolak retorik yang tidak berasas.

“Pendidikan anak Sabah memerlukan pelaburan jangka panjang, bukan janji populis setiap kali pilihan raya menjelang,” tegasnya.

Beliau turut menegaskan bahawa GRS kekal komited memperkasa generasi muda menerusi dasar yang mapan dan realistik untuk masa depan negeri.