Lelaki Warga Asing Ditahan Disyaki Rogol Remaja Bawah Umur di Tawau

Lelaki Warga Asing Ditahan Disyaki Rogol Remaja Bawah Umur di Tawau

0
SHARE

TAWAU: Seorang lelaki warga asing berusia sekitar 18 tahun ditahan polis selepas disyaki merogol seorang remaja perempuan tempatan bawah umur dalam satu operasi di kawasan tempat letak kereta sebuah masjid di Batu 2, Jalan Apas, di sini.

Pemangku Ketua Polis Daerah Tawau, Superintenden Wilynton Enchana Watt, berkata siasatan bermula selepas bapa mangsa membuat laporan polis kerana anak perempuannya tidak pulang ke rumah sebelum remaja itu ditemui di kawasan Bandar Fajar.

Beliau berkata, hasil siasatan mendapati mangsa mengaku tinggal bersama suspek di sebuah bilik sewa di Jalan Haji Karim, Bandar Fajar dan berlaku hubungan intim antara mereka.

“Susulan itu, sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah IPD Tawau menjalankan operasi mengesan suspek sebelum berjaya menahannya di kawasan tempat letak kereta sebuah masjid di Batu 2, Jalan Apas,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Menurutnya, pemeriksaan mendapati suspek merupakan warga asing yang berada di Malaysia tanpa dokumen perjalanan yang sah.

Beliau berkata, semakan turut mendapati suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan kerana disyaki merogol, selain Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana berada di negara ini tanpa dokumen perjalanan yang sah.