Mohamad Alamin Positif COVID-19, Tidak Dapat Hadiri Istiadat Angkat Sumpah

Mohamad Alamin Positif COVID-19, Tidak Dapat Hadiri Istiadat Angkat Sumpah

0
SHARE
Datuk Mohamad Alamin...

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Kimanis, Datuk Mohamad Alamin yang dilantik sebagai Timbalan Menteri Pendidikan II dalam Kabinet baharu disahkan positif COVID-19.

Susulan itu, beliau yang sepatutnya akan mengangkat sumpah di hadapan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara, pada jam 2.30 petang hari ini tidak dapat menghadiri istiadat berkenaan.

Menurut Mohamad, beliau membuat ujian saringan RT-PCR semalam selepas tidak sihat dan demam.

“Ujian saringan PCR saya menunjukkan saya positif COVID-19. Justeru saya tidak dapat menghadiri istiadat mengangkat sumpah timbalan menteri esok…

“Kini saya tidak lagi demam dan sedang menjalani kuarantin kendiri di Kuala Lumpur,” katanya.

Pada Jumaat lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan senarai barisan jemaah menteri dan timbalan menteri bagi Kabinet baharu.

ENAM (6) menteri dan timbalan menteri dari Sabah dilantik dalam Kabinet baharu ini.

Selain Mohamad, lima pemimpin Sabah yang turut dilantik ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak) Datuk Seri Dr. Maximus Ongkili; Menteri Pertanian dan Industri Makanan Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee; Timbalan Menteri Kewangan II, Yamani Hafez Musa; Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Arthur Joseph Kurup; dan Timbalan Menteri Dalam Negeri, Jonathan Yassin.