KOTA KINABALU: Pertubuhan Muafakat Titipan Amal Isteri Wakil Rakyat Gabungan Rakyat Sabah (MUTIARA GRS) meneruskan usaha kebajikan menerusi Program Santunan Kasih dengan menyalurkan sumbangan kepada Syukbah Hal Ehwal Wanita Masjid Bandaraya Kota Kinabalu serta pesakit di bawah jagaan Care of Terminally iLL (COTI) di Tanjung Aru, Selasa.
Sumbangan disampaikan oleh isteri Ketua Menteri merangkap Yang Dipertua MUTIARA GRS, Datin Seri Juliah Salag sebagai sebahagian daripada pengisian program anjuran Biro Kebajikan MUTIARA GRS.
Menerusi program berkenaan, Syukbah Hal Ehwal Wanita Masjid Bandaraya Kota Kinabalu menerima sumbangan cek bernilai RM3,000, selain dua unit katil hospital elektrik (Electric Hospital Bed) dan dua unit kerusi roda Heavy Duty Reclining Wheelchair.
Dalam program sama, Juliah turut menyampaikan sumbangan kepada pesakit di bawah jagaan COTI di Tanjung Aru.
Sumbangan berkenaan merangkumi wang tunai, bakul makanan serta barangan keperluan harian termasuk lampin pakai buang dan susu.
Program Santunan Kasih itu merupakan antara inisiatif kebajikan MUTIARA GRS dalam membantu golongan yang memerlukan, khususnya pesakit serta komuniti yang memerlukan sokongan dan perhatian.






