Sabah MotoDay 9.0 Ditunda ke 12-13 September dan Berlangsung di Kompleks Sukan...

Sabah MotoDay 9.0 Ditunda ke 12-13 September dan Berlangsung di Kompleks Sukan Likas

0
SHARE

KOTA KINABALU: Penganjuran Sabah MotoDay 9.0 Tahun 2026 dijadual berlangsung pada 12 dan 13 September 2026, selepas tarikh asal 5 dan 6 September dipinda bagi membolehkan lebih ramai peminat sukan dua roda menghadiri program berkenaan.

Pengerusi Skuad Antidadah Sabah, Datuk Mazlan @ Joehari Manan, bersama Pengerusi Kelab Dua Roda Bersatu Sabah merangkap Ketua Skuad Dua Roda Antidadah Sabah, Rudhi Haryanto Ghazali berkata, perubahan tarikh itu dibuat susulan permintaan, sokongan serta sambutan berterusan daripada komuniti peminat motosikal di seluruh negeri.

Menurut mereka, program berkenaan akan tetap berlangsung di Kawasan Parkir Kereta, Kompleks Sukan Likas, Kota Kinabalu, manakala majlis perasmian dijadual disempurnakan oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, pada 13 September.

“Perubahan tarikh ini dibuat bagi memberi peluang kepada lebih ramai peminat sukan dua roda untuk hadir dan bersama-sama memeriahkan Sabah MotoDay 9.0,” kata mereka dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan bersama mereka di sini, hari ini.

Sabah MotoDay 9.0 akan terus mengekalkan konsep penganjuran sebelum ini dengan pelbagai pengisian termasuk ceramah keselamatan dan peraturan jalan raya, sesi perkongsian, program kerohanian, khidmat masyarakat, aktiviti sukan serta promosi gaya hidup sihat.

Penganjur berkata objektif utama program itu adalah sebagai platform menyampaikan mesej antidadah kepada masyarakat, khususnya dalam kalangan komuniti peminat sukan dua roda di Sabah.

Pada masa sama, program itu turut menjadi lokasi Majlis Penutupan Jerayawara Jelajah Aspirasi Bebas Dadah anjuran Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Sabah bersama Skuad Dua Roda Antidadah Sabah.

Sehubungan itu, orang ramai khususnya peminat motosikal diseru hadir beramai-ramai bagi memeriahkan program berkenaan serta memanfaatkan pelbagai pengisian yang disediakan.

Penganjur turut mengingatkan semua peserta dan pengunjung supaya sentiasa mematuhi undang-undang jalan raya serta mengutamakan aspek keselamatan ketika menunggang atau memandu demi kesejahteraan diri dan pengguna jalan raya lain.

Menurut kenyataan itu, Sabah MotoDay 9.0 diharap terus menjadi platform penyatuan komuniti sukan dua roda, di samping memperkukuh kesedaran masyarakat mengenai bahaya dadah, keselamatan jalan raya dan amalan gaya hidup sihat.