PUTRAJAYA: Kenderaan persendirian syarikat kategori jip dan pikap kini layak memohon di bawah Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS), dengan permohonan dibuka bermula hari ini, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali.
Beliau berkata, peluasan kelayakan itu membabitkan sektor baharu iaitu Sektor Pengangkutan Darat (Persendirian Syarikat – Jip dan Pikap), sekali gus memberi manfaat kepada peniaga mikro dan kecil yang menjalankan perniagaan di bawah pemilikan tunggal atau perkongsian.
“Permohonan pendaftaran bagi sektor baharu ini dibuka bermula hari ini, Jumaat, 3 Julai 2026 dan kelayakan subsidi akan berkuat kuasa mulai 15 Julai 2026, tertakluk kepada kelulusan permohonan serta pemilikan fleet card,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Armizan, dengan penambahan sektor baharu itu, jumlah keseluruhan jenis kenderaan dan kelas kegunaan yang layak di bawah SKDS kini meningkat kepada 35, melengkapkan dua sektor sedia ada iaitu Sektor Pengangkutan Darat (Awam) dan Sektor Pengangkutan Darat (Barangan Keperluan Pengguna).
Beliau berkata, melalui SKDS, subsidi diesel disalurkan kepada entiti perniagaan, syarikat dan koperasi yang layak di seluruh negara menggunakan kaedah fleet card, dengan kuota tetap yang ditetapkan mengikut jenis badan, kelas kegunaan dan kategori teknikal kenderaan.
Katanya, bagi melayakkan permohonan di bawah sektor baharu itu, kenderaan hendaklah didaftarkan sebagai kenderaan perniagaan dengan Kelas/Kod Kegunaan Persendirian Syarikat (AE) dalam sistem MySikap Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).
Selain itu, perniagaan mestilah berdaftar sebagai pemilikan tunggal atau perkongsian dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) atau pihak berkuasa tempatan bagi Sabah dan Sarawak.
“Subsidi ini disasarkan untuk memanfaatkan para peniaga mikro dan kecil yang berdaftar sebagai perniagaan milikan tunggal dan perkongsian.
“Sehubungan itu, pemilik perniagaan yang berkelayakan digesa membuat permohonan dengan kadar segera melalui portal MySubsidi,” katanya.
Penyaluran subsidi diesel bersasar di negara ini dilaksanakan menerusi beberapa mekanisme, termasuk BUDI Diesel dan BUDI Agri-Komoditi yang dikawal selia oleh Kementerian Kewangan (MoF).
Manakala, Skim Subsidi Diesel Nelayan di bawah Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), dan SKDS dikendalikan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).






