Dua Maut, Tiga Cedera Proton Saga Lama Terbabas

Dua Maut, Tiga Cedera Proton Saga Lama Terbabas

0
SHARE
Foto Ihsan: JBPM Sabah

SIPITANG: Dua maut manakala tiga lagi cedera dalam nahas kemalangan membabitkan sebuah kereta hilang kawalan lalu terbabas di bahu jalan di Jalan Sabah Forest Industries (SFI), petang tadi.

Dua mangsa maut ialah, Melta Ingo (lelaki) dan Norsiah Paie (perempuan) yang masing-masing berusia 20 tahun, manakala tiga lagi mangsa, iaitu semua perempuan berusia 20 tahun mengalami kecederaan. 

Difahamkan semua mangsa di dalam kenderaan tersebut mempunyai hubungan kekeluargaan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sipitang, Calvin Joe Jeafery berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan itu pada jam 4.59 petang tadi.

“Lapor kemalangan melibatkan sebuah kenderaan jenis Proton Saga lama hilang kawalan lalu terbabas di bahu jalan.

“Lima orang mangsa terlibat, iaitu dua orang mangsa telah dikeluarkan oleh orang awam dan dihantar ke hospital dengan menggunakan Ambulan, manakala tiga orang mangsa tersepit berjaya dikeluarkan oleh pasukan bomba.

“Dua orang mangsa disahkan meninggal dunia oleh KKM di lokasi kejadian dan seterusnya diserahkan kepada pihak PDRM untuk tindakan selanjutnya,” katanya dalam satu kenyataan media di sini, hari ini.

Tambah beliau, seorang lagi mangsa mengalami kecederaan dihantar ke hospital menaiki jentera EMRS untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Ketika dihubungi, Calvin berkata, ketika operasi mengeluarkan mangsa pihaknya mendapati mangsa tidak menggunakan tali pinggang keledar.

Operasi seterusnya ditamatkan pada jam 6.20 petang.