SANDAKAN, SABAH – Seorang lelaki berusia 39 tahun masih enggan turun dari Blok D, Flat Sejati Apartment di sini, meskipun cuba dipujuk anggota Bomba sejak Isnin.
Seramai 14 anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sandakan kekal di lokasi tiga hari selepas panggilan kecemasan dibuat pada jam 10.58 malam.
Menurut laporan Pusat Gerakan Operasi Bomba, sekumpulan 12 anggota Polis turut berada di lokasi.
“Mangsa masih berada di bumbung bangunan dan proses memujuk bersama pihak polis serta keluarga mangsa masih dijalankan.
“Maklumat akan dikemaskini dari semasa ke semasa,” kata seorang jurucakap agensi.
Sementara itu, Ketua BBP Sandakan PKPB Severinus Sainku apabila dihubungi berkata pihak polis telah mengarahkan untuk menagguhkan usaha penyelamatan.
“Ini disebabkan mangsa mengugut untuk terjun sekiranya penyelamatan cuba dibuat,” katanya kepada SabahNews.
Difahamkan lelaki berbangsa Bajau yang dikatakan mengalami masalah mental itu memanjat keatas bumbung pangsapuri empat tingkat melalui dapur rumahnya.