KOTA KINABALU: Sebanyak 78 kilogram sisa termasuk jaring ikan terbiar atau ghost nets berjaya dikutip dalam program Borneo Ultra Ocean Clean-Up (BUOC) 5.0 semalam, sekali gus mendedahkan ancaman serius terhadap ekosistem marin di perairan Sabah.
Pengarah Program Sabah Dive Squad Club, Yong Lip Khiong berkata, jaring ikan yang ditinggalkan merupakan antara punca utama pencemaran laut akibat amalan penangkapan ikan yang tidak bertanggungjawab.
“Selain beg plastik dan botol, ghost nets adalah antara ancaman terbesar kepada hidupan marin.
“Haiwan laut boleh terperangkap di dalamnya, dan dalam jangka masa panjang, jaring ini turut merosakkan terumbu karang,” katanya.
Beliau turut menyertai operasi selaman bersama pasukan dengan menyelam sehingga kedalaman 12 meter selama lebih sejam bagi mengalihkan sebahagian jaring sepanjang 100 meter di perairan Kota Kinabalu.
Sementara itu, seorang lagi ahli, Mohd Saiful Md Saad, 39, berkata, beliau pernah menemui pelbagai spesies marin termasuk jerung gitar yang jarang ditemui, penyu dan ikan besar yang mati selepas terperangkap dalam ghost nets.
“Pencemaran plastik juga sangat berbahaya kepada ekosistem marin, seperti kes penyu mati selepas termakan plastik yang disangka ubur-ubur, makanan semula jadi mereka,” katanya.
Program BUOC edisi kelima itu dianjurkan oleh Tentera Laut Diraja Malaysia melalui Markas Pasukan Kapal Selam (MAKS) sempena sambutan ulang tahun ke-92 TLDM.
Seramai 126 penyelam skuba mengambil bahagian dalam program pembersihan dasar laut tersebut, melibatkan pelbagai agensi beruniform termasuk tentera laut, tentera darat, polis marin, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia serta Angkatan Pertahanan Awam.
Turut serta penyelam bertauliah dari sektor awam dan swasta seperti Universiti Malaysia Sabah dan Taman-Taman Sabah dalam usaha bersama memelihara kelestarian ekosistem marin negeri ini.






