KOTA KINABALU: Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) akan mempergiat langkah intervensi bagi membantu memulihkan kira-kira 30 peratus koperasi tidak aktif di seluruh negara agar kembali berdaya saing.
Timbalan Menteri KUSKOP, Datuk Mohamad Alamin berkata, kerajaan menerusi Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) akan terus mencari kaedah terbaik untuk membantu koperasi yang berdepan masalah.
“SKM akan sentiasa mencari jalan membantu koperasi yang berdepan masalah agar dapat dipulihkan semula.
“Antara langkah yang sedang dipertimbangkan ialah pelaksanaan program konsolidasi atau penggabungan beberapa koperasi yang lemah supaya menjadi lebih kukuh dari segi modal, produk dan pengurusan.
“Yang aktif di seluruh negara lebih 60 peratus. Yang tidak aktif dalam 30 peratus. Jadi mana-mana koperasi yang kita kesan menghadapi masalah, program intervensi harus dibuat secepat mungkin supaya mereka boleh dipulihkan semula,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri program Bicara Koperasi Institut Koperasi Malaysia (IKMa) bersama agensi KUSKOP dan media di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, pada Sabtu.
Menurut beliau, antara punca utama koperasi menjadi tidak aktif ialah kelemahan dari segi pengurusan dan pentadbiran selain terlalu bergantung kepada bantuan kerajaan.
Katanya, terdapat juga koperasi yang gagal berkembang disebabkan ketiadaan matlamat bersama dalam kalangan anggota serta kekurangan kepimpinan berpengalaman.
“Itu yang saya katakan antara punca koperasi jadi tidak aktif, pertamanya lemah dari segi pengurusan pentadbiran. Yang keduanya koperasi hanya mengharapkan bantuan kerajaan.
“Sebab itu penting wujudkan pengurusan yang cekap dan lantik Ahli Lembaga Koperasi yang lebih profesional supaya boleh bantu dari segi pentadbiran, pengurusan serta mewujudkan perniagaan untuk koperasi mereka,” katanya.






