KOTA BHARU, 29 September – Jabatan Peguam Negara (AGC) masih menantikan jawapan Presiden WARISAN, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, terhadap notis tunjuk sebab berkaitan kenyataannya mengenai inkues kematian Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir.
Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar, mendedahkan notis itu sudah diserahkan minggu lalu namun tiada maklum balas diterima setakat ini.
“Hingga hari ini, saya masih belum menerima jawapan beliau. Namun Shafie ada memaklumkan akan memberi penjelasan. Jadi kita beri ruang terlebih dahulu. Isu ini tiada had masa, bukan bermakna jika gagal menjawab terus dikenakan hukuman,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Istiadat Pengurniaan Kehormatan Kebesaran Negeri Kelantan, sempena ulang tahun keputeraan Sultan Muhammad V ke-56, di Istana Balai Besar, hari ini.
Sebelum ini, Mahkamah Koroner mengeluarkan notis tunjuk sebab terhadap bekas Ketua Menteri Sabah itu selepas didakwa menghina prosiding inkues. Permohonan berkenaan dibuat peguam Datuk Ram Singh pada prosiding ke-11, 22 September lalu, dan mendapat sokongan semua pihak terlibat.
Terdahulu, tular rakaman video di media sosial memaparkan Mohd Shafie didakwa menyebut kematian Zara Qairina sebagai kes pembunuhan.
Dalam video itu, Shafie antara lain kedengaran berkata: “Itu budak sudah mati, bukan buli, it’s a murder. Betul kah?” sebelum disambut dengan suara hadirin yang menjawab, “Betul.”






