Zara Keluar Dorm Dalam Keadaan Menangis Pada Jam 11 Malam 15 Julai...

Zara Keluar Dorm Dalam Keadaan Menangis Pada Jam 11 Malam 15 Julai – Saksi

0
SHARE

Oleh: Mirlen Axtius

KOTA KINABALU: Prosiding Inkues kematian pelajar tingkatan satu, Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir, hari ini mendedahkan detik terakhir beliau dilihat hidup apabila seorang saksi kanak-kanak mengesahkan Zara keluar dari dorm dalam keadaan menangis sekitar jam 11.00 malam, 15 Julai 2025.

Saksi kanak-kanak keenam memberitahu Mahkamah Koroner bahawa pada malam kejadian, Zara dilihat memasuki dorm A-3-6 sekitar jam 10.20 malam untuk berjumpa seorang pelajar senior selepas dipanggil berhubung dua kes kehilangan dompet. 

Menurut peguam keluarga Zara, Shahlan Jufri, saksi memaklumkan, beberapa pelajar senior kemudiannya masuk ke dorm tersebut dan dia terdengar suara kuat seperti sedang memarahi Zara, namun tidak dapat mengecam siapa yang bercakap.

Saksi berkata, beliau mengetahui siapa yang memarahi Zara tetapi memilih untuk tidak mencampuri kejadian tersebut.

Sekitar jam 11.00 malam, saksi melihat Zara keluar dari dorm dalam keadaan menangis, dan itu merupakan kali terakhir beliau melihat Zara hidup. 

Saksi turut mendedahkan bahawa beliau menghantar sepucuk surat peribadi Zara ke dorm Zara pada malam sama dan mengesahkan surat tersebut diterima oleh seorang pelajar lain.

Saksi juga menyatakan bahawa beliau mengetahui punca Zara ditemui di tingkat bawah asrama pada pagi 16 Julai 2025 dan berpendapat ia berkait dengan tuduhan kecurian yang dihadapi mangsa.

Sementara itu, saksi kelima memberitahu mahkamah bahawa budaya pelajar senior memarahi atau menegur dengan nada keras terhadap junior adalah perkara biasa di asrama.

Saksi yang rapat dengan kumpulan “Circle 19” menjelaskan bahawa kata-kata kasar seperti “bodoh” dan “sial” sering digunakan sesama pelajar termasuk terhadap Zara, namun dianggap sebahagian daripada interaksi harian.

Saksi turut menggambarkan Zara sebagai seorang pelajar ceria dan peramah yang tidak menunjukkan tanda-tanda tekanan emosi sebelum kejadian.

Dalam prosiding hari ini, pasukan guaman turut menyerahkan pelan lakar 3D dan 2D sebagai rujukan mahkamah dan saksi bagi membantu pemahaman susun atur dorm A-3-6, A-3-5 serta keseluruhan aras tiga Blok Asrama Rabiatul Adawiyah, menggunakan bahan bukti gambar dan maklumat sedia ada.

Mahkamah Koroner tidak akan bersidang antara 1 hingga 6 Oktober 2025, dan akan bersambung semula pada 7 Oktober secara harian sehingga prosiding inkues selesai.