KOTA KINABALU: Pelaksanaan Sistem Kawalan Petrol Bersubsidi (SKPS) dan BUDI MADANI RON95 (BUDI95) menjadi langkah strategik Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) untuk memperkukuh ketangkasan penguatkuasaan serta menangani ketirisan subsidi bahan api secara menyeluruh.
Menteri KPDN, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, inisiatif ini sejajar dengan agenda penguatkuasaan digital melalui pengurusan risiko ketirisan dan pemantauan transaksi secara menyeluruh.
“Melalui sistem ini, semua transaksi penjualan dan pembelian petrol RON95 daripada peringkat syarikat minyak, stesen minyak, syarikat dan individu akan direkodkan secara digital.
“Penggunaan kad fleet untuk syarikat dan MyKad untuk individu membolehkan penguatkuasaan dilaksanakan dengan cepat dan berkesan, termasuk mengenal pasti pembelian berulang atau dalam jumlah mencurigakan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media sempena Hari Bertemu Pelanggan SKPS RON95 peringkat Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan di sini, hari ini.
Dalam pada itu katanya, KPDN turut memberi amaran bahawa tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang didapati melakukan penyelewengan, manipulasi atau penyeludupan petrol RON95 di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 [Akta 122].
“Individu boleh dikenakan denda sehingga RM1 juta atau penjara tiga tahun, manakala syarikat boleh didenda sehingga RM2 juta jika disabitkan kesalahan,” tegasnya.
Pelaksanaan rintis BUDI95 pada 27 dan 28 September lalu berjalan lancar, melibatkan anggota keselamatan dan penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR).
Armizan turut memaklumkan bahawa di Sabah sahaja, seramai 27,916 pengguna telah memanfaatkan harga subsidi RM1.99 seliter pada hari kedua pelaksanaan.
“Pelaksanaan menyeluruh penyasaran subsidi petrol RON95 akan bermula 30 September 2025, dan dijangka memberi manfaat kepada 16 juta rakyat Malaysia.
“Semua pihak perlu memainkan peranan memastikan subsidi sampai kepada penerima yang layak, bukan diseleweng,” tegasnya sekali lagi.






