Lelaki Melecur Dalam Kebakaran Rumah Setinggan di Tawau

Lelaki Melecur Dalam Kebakaran Rumah Setinggan di Tawau

0
SHARE

TAWAU: Seorang lelaki warga emas berusia 71 tahun cedera akibat melecur di bahagian tangan dalam satu kebakaran melibatkan lapan buah rumah setinggan di Kampung Hidayat, Jalan Apas Tawau, tengah hari tadi.

Menurut Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, panggilan kecemasan diterima pada jam 11.50 pagi sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau bersama Pasukan Bomba Sukarela Titingan dan Bomba Komuniti Kg. Hidayat bergegas ke lokasi kejadian, kira-kira 8 kilometer dari balai.

Komander Operasi, PBK I Mohd Yahya Abd Fatah memaklumkan, kebakaran membabitkan lapan buah rumah tidak kekal dengan keluasan keseluruhan 226 x 548 kaki persegi dan musnah 100 peratus, termasuk sebuah kenderaan jenis Proton Wira yang turut terbakar sepenuhnya.

“Pasukan bomba menggunakan teknik offensive dan defensive dengan satu aliran serta dua pancutan sepanjang 400 kaki menggunakan sumber air dari jentera dan water tanker. Operasi berjaya mengawal api pada jam 12.32 tengah hari,” katanya.

Tambahnya, kebakaran berjaya dikawal daripada merebak ke 350 buah rumah setinggan berhampiran dan sebuah kilang papan, sekali gus mengelakkan kerugian dan kemusnahan lebih besar.

Mangsa lelaki yang cedera telah dihantar ke Hospital Tawau menggunakan unit EMRS bomba untuk rawatan lanjut.

Operasi pemadaman ditamatkan sepenuhnya pada jam 2.15 petang selepas memastikan kawasan bebas daripada bahaya lain.

Turut membantu dalam operasi ialah PDRM (10 anggota), Sabah Electricity (SE-2 anggota) dan APM (10 anggota).