885 Kenderaan Diesel Tukar Hak Milik Bagi Permohonan BUDI Diesel di Sabah

885 Kenderaan Diesel Tukar Hak Milik Bagi Permohonan BUDI Diesel di Sabah

0
SHARE

KOTA KINABALU: Sebanyak 885 urusan pertukaran hak milik (THM) kenderaan diesel telah diproses Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Sabah sejak 1 hingga 10 Julai 2026 bagi membantu pemilik kenderaan melengkapkan permohonan BUDI Diesel.

Pengarah JPJ Sabah Datuk Mohd Harris Ali berkata, jumlah itu melibatkan 733 kenderaan jenis pikap dan 152 kenderaan jenis jip, menunjukkan sambutan menggalakkan terhadap inisiatif pembukaan kaunter khas THM kenderaan diesel.

“Pencapaian ini membuktikan sambutan yang amat menggalakkan daripada orang ramai terhadap inisiatif Kerajaan dan komitmen JPJ Negeri Sabah dalam memudah cara urusan pertukaran hak milik kenderaan diesel,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Beliau berkata, kaunter khas THM kenderaan diesel dibuka bagi memudahkan pemilik dan pengguna sebenar kenderaan diesel yang layak melengkapkan proses pertukaran hak milik sebelum membuat permohonan BUDI Diesel.

Kaunter khas itu beroperasi setiap Sabtu dan Ahad bermula 4 hingga 26 Julai 2026, dari jam 8 pagi hingga 5 petang.

Kemudahan tersebut disediakan di Bahagian Pelesenan Kenderaan, Ibu Pejabat JPJ Negeri Sabah, semua 16 pejabat JPJ cawangan di seluruh Sabah serta tiga pejabat JPJ UTC negeri itu.

JPJ UTC Keningau pula akan mula beroperasi sebagai lokasi kaunter khas berkenaan mulai 12 Julai 2026.

“Orang ramai dinasihatkan untuk menyemak syarat kelayakan serta maklumat berkaitan permohonan BUDI Diesel melalui portal rasmi BUDI MADANI dan menyediakan dokumen lengkap sebelum hadir ke kaunter bagi memastikan urusan dapat diproses dengan cepat dan lancar,” katanya.