Tujuh Kru Ditahan, Rampasan RM450,000 Kes Pukat Larangan Di KK

Tujuh Kru Ditahan, Rampasan RM450,000 Kes Pukat Larangan Di KK

0
SHARE

KOTA KINABALU: Sebuah bot nelayan tempatan bersama tujuh kru dan peralatan menangkap ikan bernilai kira-kira RM450,000 ditahan selepas disyaki menjalankan aktiviti menunda pukat di kawasan larangan perairan Kota Kinabalu, lewat malam tadi.

Pengarah Maritim Negeri Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan, Laksamana Pertama Maritim Mohd Khairulanuar Abd Majid @ Razali berkata, bot berkenaan ditahan hasil pengesanan Sistem Pengawasan Laut Sabah (SWASLA) yang mengesan tiga sasaran mencurigakan di perairan barat Tanjung Tombongon.

Menurutnya, pemeriksaan mendapati bot tersebut sedang menarik pukat kira-kira 1.86 batu nautika dari daratan, iaitu kurang daripada had minimum tiga batu nautika yang ditetapkan di bawah syarat lesen vesel perikanan.

“Tujuh kru berusia antara 20 hingga 60 tahun ditahan, terdiri daripada seorang warga Malaysia, empat warga Indonesia serta dua individu yang memiliki dokumen pengenalan diri diragui,” katanya dalam kenyataan.

Kes tersebut disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 kerana melanggar syarat lesen, manakala dua individu terbabit turut disiasat di bawah Akta Imigresen 1959/1963.

Bot, kru, peralatan menangkap ikan serta hasil tangkapan telah dibawa ke jeti Maritim Malaysia untuk tindakan lanjut.

Maritim Malaysia memaklumkan pihaknya akan terus mempergiat rondaan dan penguatkuasaan bagi membanteras aktiviti perikanan yang melanggar syarat pelesenan serta menjaga kelestarian sumber perikanan negara.