KUALA LUMPUR – Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) akan menaik taraf Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) dengan belanja RM442.30.
Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata projek itu dijangka mengambil masa 48 bulan, dengan fasa pra-pembinaan bermula tahun ini dan dijadual siap pada 2027.
“Projek ini dibiayai sepenuhnya melalui inisiatif pembiayaan swasta MAHB, tanpa melibatkan jaminan kerajaan,” katanya kepada pemberita dalam sidang media di Parlimen semalam.
Beliau berkata projek menaik taraf itu melibatkan pembesaran kapasiti terminal daripada 9 juta kepada 12 juta penumpang setahun, selain kemudahan baharu seperti pembinaan kawasan bertingkat dan tambahan tujuh tempat letak pesawat.
Di samping itu, penambahbaikan infrastruktur sokongan akan merangkumi peningkatan jalan di sekitar lapangan terbang, penggunaan teknologi hijau, dan penyesuaian Teknologi Lapangan Terbang 4.0 dengan menyepadukan automasi dan teknologi canggih untuk meningkatkan kecekapan operasi.
KKIA adalah lapangan terbang kedua tersibuk di Malaysia selepas Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Ia merekodkan kapasiti penumpang sebanyak 9.4 juta penumpang setahun, iaitu melebihi kapasiti semasa pada 2019.
“Angka ini dijangka meningkat kepada 12.4 juta penumpang setahun menjelang 2034.
“Sehingga Oktober 2024, KKIA mencatatkan 6.6 juta penumpang, iaitu peningkatan 13.4 peratus berbanding tempoh sama pada 2023.
“Saya yakin pelaburan ini bukan sahaja memberi pulangan kepada MAHB malah akan membuka pintu kepada peluang dan kemakmuran rakyat Sabah dan negara,” beliau dipetik sebagai berkata.