TAWAU – Seorang bekas pengetua sebuah madrasah di Tawau, Sabah mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Tawau hari ini, atas empat pertuduhan melakukan kelucahan melampau terhadap empat pelajar lelaki madrasah berkenaan, tahun lalu.
Memetik laporan Harian Metro, tertuduh yang berusia 35 tahun membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan secara berasingan di depan Majistret Ferhanshah Farene Mohd Ferdaus.
Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa melakukan perbuatan berkenaan terhadap empat pelajar lelaki berusia 14 tahun dan 16 tahun di sebuah rumah di Tawau, Jun dan Ogos 2016.
Bagi setiap pertuduhan, dia didakwa mengikut Seksyen 377D Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Wan Muhammad Fitri Wan Azizan manakala tertuduh tidak diwakili peguam bela.
Ferhanshah Ferene membenarkan tertuduh diikat jamin RM16,000.
Beliau turut memerintahkan lelaki itu melaporkan diri sekali sebulan kepada pegawai penyiasat dan tidak boleh menghubungi atau mendekati saksi.
Mahkamah kemudian menetapkan 14 Disember ini untuk sebutan semula kes dan lantikan peguam.