Pesta Bangkar Platform Pelihara Warisan Budaya Masyarakat Orang Sungai

Pesta Bangkar Platform Pelihara Warisan Budaya Masyarakat Orang Sungai

0
SHARE

RANAU: Penganjuran Pesta Bangkar merupakan salah satu platform penting dalam memelihara serta memperkenalkan warisan budaya masyarakat Orang Sungai kepada generasi muda dan masyarakat umum.

Menteri Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, Datuk James Ratib berkata, kementeriannya komited untuk terus menyokong usaha pemeliharaan dan pengukuhan warisan budaya masyarakat Sabah sebagai sebahagian daripada agenda pembangunan modal insan dan jati diri rakyat negeri ini.

Menurut beliau, budaya, adat resam, bahasa dan nilai-nilai tradisi yang diwarisi turun-temurun perlu terus dipelihara agar tidak luput ditelan arus kemodenan.

Pesta Bangkar bukan sekadar acara kebudayaan, malah menjadi medium yang menyatukan masyarakat, memperkukuhkan semangat perpaduan serta memperkenalkan keunikan warisan masyarakat Orang Sungai kepada generasi akan datang.

“Dalam era pembangunan dan kemajuan teknologi hari ini, kita perlu memastikan warisan budaya terus dihargai dan dipelihara sebagai asas kepada pembentukan jati diri masyarakat,” katanya.

Beliau berkata demikian menerusi teks ucapan yang disampaikan oleh Setiausaha Politik kepada Menteri Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, Justinus Jalang, sempena Majlis Penutupan Pesta Bangkar 2026 di Kampung Meridi, Ranau, pada Jumaat.

James turut menekankan bahawa pendidikan kekal menjadi kunci utama dalam melahirkan generasi berpengetahuan, berkemahiran dan mampu menyumbang kepada pembangunan negeri serta negara.

Sehubungan itu, Kerajaan Negeri melalui KPSTI sentiasa memberi penekanan kepada usaha memperkukuhkan akses pendidikan, memperluaskan penggunaan teknologi serta memperkasakan pembangunan modal insan, khususnya dalam kalangan generasi muda di kawasan luar bandar.

“Kita mahu melihat anak-anak Sabah, termasuk di Ranau, mempunyai peluang yang sama untuk berjaya dan mencapai cita-cita mereka. Mereka perlu dilengkapi dengan ilmu, kemahiran serta nilai-nilai murni agar mampu bersaing dalam dunia yang semakin mencabar,” katanya.

Beliau turut mengingatkan bahawa kemajuan teknologi dan inovasi perlu bergerak seiring dengan usaha memelihara identiti serta warisan budaya masyarakat.

Menurutnya, generasi muda perlu celik teknologi, namun pada masa yang sama memahami asal-usul, menghormati adat resam dan menghargai budaya yang diwariskan oleh nenek moyang mereka.

Dalam pada itu, James mengumumkan peruntukan khas sebanyak RM10,000 bagi menyokong penganjuran Pesta Bangkar 2027, sebagai tanda sokongan Kerajaan Negeri terhadap usaha berterusan Persatuan Orang Sungai Ranau dalam memelihara dan memartabatkan warisan budaya masyarakat Orang Sungai.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Persatuan Orang Sungai Ranau, jawatankuasa penganjur, para sukarelawan, pemimpin masyarakat serta semua pihak yang telah menjayakan Pesta Bangkar 2026.

Katanya, usaha murni seperti ini wajar diteruskan dan diperkasakan kerana ia bukan sahaja memperkukuhkan identiti budaya masyarakat, malah turut menyumbang kepada pembangunan komuniti, penglibatan belia, pengukuhan perpaduan serta pertumbuhan ekonomi setempat.

Turut hadir pada majlis tersebut ialah Ketua Daerah Ranau, OKK Muhasip; wakil Sabah Tourism Board, Dexter; Ketua Anak Negeri, Aini Tompig; Pengerusi Dumpas Sabah, Abd Wahab Ghani; Pengerusi Persatuan Orang Sungai Ranau, Hairun Badin; serta Pengerusi Warisan Gasing, Putera Awang.