PENAMPANG: Seorang pejalan kaki warga emas maut selepas dirempuh sebuah pacuan empat roda dalam kemalangan di Jalan Bundusan menuju Taman Adamas, awal pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Penampang, Superintenden Sammy Newton berkata, siasatan awal mendapati kenderaan dipandu lelaki tempatan berusia 52 tahun itu dipercayai melanggar mangsa yang sedang berjalan di kawasan berkenaan.
“Akibat pelanggaran itu, mangsa lelaki tempatan berusia 77 tahun tercampak ke dalam longkang di bahu jalan dan mengalami kecederaan parah,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan sebelum dihantar ke Hospital Queen Elizabeth I untuk bedah siasat.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Polis menasihatkan pengguna jalan raya supaya sentiasa berhati-hati dan memastikan kenderaan dalam keadaan baik.
Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik IPD Penampang atau pegawai penyiasat, Inspektor Saparia Ladoni di talian 019-809 5133.






