James Gesa Ahli Parlimen Sabah Perjuang Projek Persekutuan Termasuk Sekolah di Dewan...

James Gesa Ahli Parlimen Sabah Perjuang Projek Persekutuan Termasuk Sekolah di Dewan Rakyat

0
SHARE

KOTA KINABALU: Menteri Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk James Ratib menggesa semua Ahli Parlimen dari Sabah membawa isu kelewatan pelaksanaan projek pembangunan persekutuan termasuk projek sekolah di bawah Kerajaan Persekutuan ke Dewan Rakyat bagi memastikan tindakan segera dapat diambil demi kepentingan sektor pendidikan negeri.

Gesaan itu dibuat ketika menjawab soalan tambahan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Silam, Datuk Mohammad Yusof Apdal (Warisan) yang membangkitkan kelewatan pembinaan beberapa sekolah di kawasannya, termasuk sebuah sekolah menengah yang masih belum siap walaupun pembinaannya bermula bertahun-tahun lalu, selain projek Sekolah Kebangsaan (SK) Unico yang turut mengalami kelewatan.

Menurut Mohammad Yusof, pembinaan sekolah baharu penting bagi mengatasi kesesakan murid yang semakin meningkat, bukan sahaja ketika kemasukan ke Tingkatan Satu, malah di semua peringkat persekolahan.

Menjawab perkara itu, James berkata projek pembangunan sekolah berkenaan adalah di bawah tanggungjawab Kerajaan Persekutuan dan memerlukan sokongan semua Ahli Parlimen Sabah untuk memastikan isu itu diberikan perhatian sewajarnya oleh kementerian berkaitan.

“Saya minta bantuan semua Ahli Parlimen dari negeri Sabah supaya menyuarakan projek-projek pembangunan Persekutuan ini di Parlimen. Semua menteri berada di Dewan Rakyat, jadi bangkitkan perkara ini kepada mereka supaya tindakan sewajarnya dapat diambil,” katanya.

Dalam pada itu, James yang juga ADUN Sugut berkata, kerajaan negeri melalui Jabatan Pendidikan Negeri Sabah (JPNS) telah membuat persiapan rapi bagi menghadapi kemasukan murid berusia enam tahun ke Tahun Satu mulai sesi persekolahan 2027.

“Antara langkah yang diambil ialah penempatan guru baharu daripada Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan (PISMP) dan Program Diploma Pascasiswazah Pendidikan (PDPP), selain pelantikan guru secara Kontrak Perkhidmatan (COS) bagi memenuhi keperluan semasa.

“Bagi mengurangkan beban tugas guru, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bersama JPNS turut meneliti cadangan menambah Pembantu Pengurusan Murid (PPM) untuk mengendalikan urusan bukan akademik supaya guru dapat memberi tumpuan kepada pengajaran dan pembelajaran.

“Selain itu, pembinaan bilik darjah tambahan, pengubahsuaian serta naik taraf bilik darjah sedia ada, termasuk pelaksanaan persekolahan dua sesi di sekolah yang memerlukan, turut dilaksanakan bagi menampung pertambahan murid,” katanya.

James berkata, kerjasama erat antara kerajaan negeri dan wakil rakyat di peringkat Persekutuan amat penting bagi memastikan projek pembangunan sekolah dapat disegerakan, sekali gus menyediakan kemudahan pendidikan yang lebih kondusif dan mengurangkan kesesakan di sekolah-sekolah Sabah.